Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
PEKAN, 25 MAC 2025 : Kerajaan Negeri Pahang akan mengadakan pertemuan bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Kementerian Ekonomi berhubung peruntukan bagi menghalang hakisan pantai di Sungai Api-api.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir Razali Kassim, ia juga bagi menjunjung titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenaan hakisan yang berlaku tersebut.

Menurut beliau, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pahang juga telah menghantar permohonan peruntukan bagi membina tembok penahan ombak sepanjang 700 meter sebagai pelindung pantai daripada hakisan di Sungai Api-api pada Januari lepas.
“Pihak JPS juga telah mengambil tindakan dengan mengemukakan permohonan ke pihak Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan mereka telah menyokong permohonan ini, dan sekarang permohonan berada di Kementerian Ekonomi.
“Kos yang dipohon untuk kerja-kerja ini lebih kurang RM4 juta untuk membuat benteng menghalang hakisan pantai yang lebih kurang hampir 1 kilometer.

“Ia melibatkan tiga scope iaitu revetment, beach nourishment, dan dredging. Dan Kerajaan Negeri akan follow up permohonan ini dengan Kementerian Ekonomi untuk memberi lebih perhatian dan mempercepatkan proses berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada lawatan kerja berkenaan hakisan pantai di Seksyen 255 Jalan Pekan-Nenasi menghala Rompin hari ini.
Tambah beliau peruntukan ini amat diperlukan memandangkan hakisan yang berlaku di kawasan ini menyebabkan jarak di antara kawasan pantai yang terhakis denganjalan utama adalah sekitar 5 meter sahaja dan akan lebih teruk sekiranya tidak dibaikpulih.
Menurut beliau, Pahang mempunyai hakisan pantai melibatkan banyak kawasan disebabkan negeri ini mempunyai persisir pantai yang panjang iaitu dianggarkan sepanjang 378.4 kilometer.
“Pantai kita di Pahang ini bermula daripada sempadan Kemaman sehinggalah ke Teluk Gading, Rompin. Dan tiga kawasan yang agak teruk terjejas adalah di Kampung Jawa, Beserah, dan Cherating.
“Setakat ini kita menunggu peruntukan sebab kerja baikpulih ini memerlukan kos yang tinggi. Dan kita juga telah mengangkat kertas pertama dengan kos sebanyak RM1.085 bilion menggunakan anggaran yang dibuat oleh JPS Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA

