Oleh : Putra Muhammadd Arifhasnain Sadini & Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 25 MAC 2025 : Seramai 70 peratus daripada 1,828 pegawai dan anggota termasuk Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang akan bertugas sepanjang Ops Siaga Raya 2025 sebagai langkah memperkukuh kesiapsiagaan menjelang sambutan Aidilfitri.
Pengarah JBPM Pahang, YS Mohd Razam Taja Rahim berkata, selain kekuatan anggota, sebanyak 52 unit jentera termasuk Fire Rescue Tender (FRT) dan Light Fire Rescue Tender (LFRT) turut diatur gerak bagi menghadapi sebarang insiden kecemasan sepanjang tempoh operasi.
“Sebagaimana arahan yang ditetapkan di peringkat ibu pejabat, 70 peratus anggota akan bertugas manakala hanya 30 peratus dibenarkan bercuti sepanjang tempoh Ops Siaga Raya ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Kempen Keselamatan dan Ops Siaga Raya Aidilfitri 2025 yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim di perkarangan sebuah pusat beli-belah di sini, semalam.
Menurut YS Mohd Razam, seramai 33 anggota akan ditempatkan di tiga lokasi strategik sepanjang Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT1) iaitu di Genting, Temerloh dan Gambang sebagai persediaan menghadapi sebarang kejadian tidak diingini.
“Pasukan kita lengkap dengan jentera, termasuk pasukan bermotosikal dan unit perubatan EMRS (Emergency Medical Rescue Services). Sebanyak tiga kenderaan akan ditempatkan di setiap lokasi bagi memastikan respon pantas ke lokasi kejadian,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dalam penggunaan peralatan elektrik dan berhati-hati ketika memasak, terutama menjelang perayaan Aidilfitri.
“Kebanyakan punca kebakaran adalah berpunca daripada peralatan elektrik, terutama masalah pendawaian serta kecuaian ketika memasak. Jadi, saya nasihatkan orang ramai agar memastikan semua peralatan yang tidak digunakan ditutup sepenuhnya bagi mengelakkan risiko kebakaran,” katanya.-PAHANGMEDIA

