Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 24 MAC 2025: Kebakaran hutan di Pekan sejak 7 Mac lalu telah berjaya dipadamkan sepenuhnya semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), YS Mohd Razam Taja Rahim berkata, kebakaran hutan berkenaan membabitkan kawasan seluas 285.49 hektar di Kampung Cenderawasih, Ladang Nenas dan Palm Valley, Pekan.
Katanya, kejayaan itu hasil usaha berterusan anggota bomba bersama agensi-agensi berkaitan sepanjang kira-kira 18 hari operasi dijalankan.
Tambahnya, meskipun api telah dipadam sepenuhnya, namun pihaknya tetap meneruskan pemantauan rapi bagi mengelakkan kebakaran berulang.
“Pemantauan secara berkala termasuk menggunakan dron dan rondaan fizikal dilakukan dalam tempoh seminggu dua ini bagi memastikan tiada lagi sisa bara yang boleh mencetuskan semula kebakaran.
“Langkah sama turut dilaksanakan di kawasan Gebeng di sini yang sebelum ini mengalami kebakaran hutan bagi memastikan ia tidak merebak,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Kempen Keselamatan dan Ops Siaga Raya Aidilfitri 2025 di perkarangan sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim.
YS Mohd Razam dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai khususnya pemilik premis kediaman agar lebih berhati-hati dalam mengendalikan peralatan elektrik bagi mengelakkan insiden kebakaran, terutamanya menjelang musim perayaan.
Menurutnya lagi, statistik menunjukkan banyak kejadian kebakaran berpunca daripada kecuaian termasuk penggunaan peralatan elektrik dan kelalaian semasa memasak.
“Antara kes biasa berlaku adalah mangsa terlupa menutup api selepas memanaskan makanan, terutamanya pada waktu malam.
“Selain itu, saya juga ingin mengingatkan supaya laluan kecemasan di dalam rumah sentiasa dalam keadaan baik dan tidak dihalang oleh sebarang objek.
“Sikap berhati-hati dan peka dengan keselamatan amat penting bagi memastikan sambutan Aidilfitri nanti berjalan lancar dan selamat,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

