Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 21 MAC 2025: Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan rasa bangga ata pemilihan empat daerah di negeri ini yang dinobatkan sebagai daerah paling bahagia bagi tahun ini.
Empat daerah yang dimaksudkan adalah daerah Lipis, Jerantut, Temerloh dan Cameron Highlands.
Titah baginda, gelaran tersebut sesuai dengan suasana yang dapat dinikmati di keempat-empat daerah ini.

“Di Lipis hari ini, saya lawat bandar, masjid, nampak semua orang senyum dinobatkan dengan gelaran tersebut, sangat sesuai.
“Rakyat di Pahang sangat bertuah, moga semua diberkati dan kuat kerja, solat, mengaji dan lain-lain,” titah Paduka Baginda ketika berkenan berangkat bagi menyempurnakan perasmian Maahad Tahfiz Ar-Rushd (MTAR) di Kampung Tanjung Gahai di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda ke majlis berkenaan diiringi YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail. Turut hadir, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy pula berkata, pengiktirafan yang diberikan itu merupakan satu perkara membanggakan justeru berharap daerah lain di negeri ini juga dapat mengikuti jejak langkah empat daerah tersebut.

“Saya ingin mengambil kesempatan supaya mereka (daerah) lain dapat bersama-sama dengan empat daerah yang telah diisytihar bandar bahagia iaitu Temerloh, Lipis, Jerantut dan Cameron Highlands manakala daerah yang belum lagi diisytihar bandar bahagia ini akan mengikut jejak empat daerah tadi.
“Dalam masa yang sama empat daerah yang telah diisytiharkan sebagai bandar bahagia dapat terus mengekalkan pengiktirafan kerana saya percaya daerah-daerah lain pun akan berusaha untuk mendapat pengiktirafan seperti daerah-daerah yang empat ini,” ujarnya.
Semalam, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengumumkan kejayaan 20 bandar berdasarkan Indeks Kebahagiaan Malaysia. Lipis, Cameron Highlands, Jerantut meraih pengiktirafan bagi kategori majlis daerah manakala Temerloh (perbandaran). -PAHANGMEDIA

