Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 18 MAC 2025 : Majlis Belia Negeri Pahang akan bekerjasama secara rapat bersama jawatankuasa usahawan negeri ini bagi memperkasakan usahawan belia melalui inisiatif yang ditawarkan Kerajaan Negeri Pahang.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, dalam masa terdekat Kerajaan Negeri Pahang akan menganjurkan Karnival Usahawan di setiap daerah bagi tujuan ini.

“Kerajaan Negeri Pahang memang dah ada sediakan banyak peluang dan inisiatif untuk usahawan belia ini. Salah satunya adalah melalui Skim i-push yang saya rasa dapat sambutan yang cukup baik, dan banyak lagilah inisiatif di bawah YB. Dato’ Amizar yang bertanggungjawab untuk portfolio usahawan ini.
“Dan kita akan bekerjasama rapat dan Dato’ Amizar pun dah plan untuk anjurkan karnival usahawan di setiap daerah di Negeri Pahang ini. Untuk itu kita akan bekerjasama rapat denga. Majlis Belia Negeri Pahang.
“Dalam karnival itu sudah pasti kita akan bagi tumpuan kepada usahawan-usahawan belia, dan sebenarnya ramai dah usahawan belia yang Kerajaan Negeri Pahang bantu melalui modal perniagaan khususnya melalui pemberian sumbangan dan cek Kerajaan Negeri Pahang kepada mereka untuk mereka mengembangkan perniagaan mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang juga sentiasa menyokong penglibatan anak muda daam bidang perniagaan melalui penyediaan ruang dan platform serta bantuan lain.
“Sebab itu hari ini saya ajak Majlis Belia Negeri Pahang dan Majlis Belia Kuantan untuk sama-sama hadir sokong usahawan dan peniaga muda ini.
“Dan di peringkat Majlis Belia Negeri Pahang, kita dah tentukan biro usahawan untuk mengepalai gerakan usahawan belia ini. Dan beliau akan bentangkan kepada saya dalam masa terdekat, mungkin selepas raya, gerak kerja untuk bantu usahawan belia di seluruh Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada lawatan Bazar Aidilfitri Dataran Stadium Darul Makmur dan moreh bersama Majlis Belia Daerah Kuantan di perkarangan bazar.
YB. Tuan Fadzli turut meluangkan masa beramah mesra dengan para peniaga bazar Aidilfitri serta menyampaikan sumbangan duit raya kepada pengunjung kanak-kanak yang ada pada lawatan tersebut. -PAHANGMEDIA

