Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 16 MAC 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan mengagihkan kira-kira 3,000 bubur lambuk kepada orang ramai di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1 hari ini.
Paduka Baginda yang berangkat tiba pada 2.20 petang berkenan bercemar duli bersama-sama 70 ahli Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Negeri Pahang dan Pertubuhan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Pahang menyediakan tiga periuk bubur lambuk.

Turut mengiringi Paduka Baginda mengagihkan bubur lambuk, YHM Che Puan Panglima Puteri Hajjah Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohammed Moizz.
Penyediaan bubur lambuk yang bermula pada 11 pagi itu turut mengisi bahan-bahan asas seperti ikan, ayam, pucuk paku merah, daun kemangi, daun kesum, daun kaduk, kangkung, daun kunyit, dan pucuk paku.
Sementara itu, menurut Encik Hassan @ Osman Din, 79, dia teruja untuk merasai air tangan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang setelah diberitahu berkenaan pengagihan ini pada minggu lepas.

“Saya datang dengan bas ke sini. Memang bulan puasa saya berbuka puasa, dan solat di masjid di sini. Minggu lepas lagi di masjid ada beritahu Tengku Ampuan Pahang akan beri bubur lambuk. Itu saya datang.
“Saya rasa gembira, seorang isteri Sultan menyediakan makanan untuk rakyat. Alhamdulillah syukur. Ini pertama kali saya nak rasa bubur lambuk Tengku Ampuan Pahang,” katanya yang tinggal di Pak Mahat.
Seorang lagi pengunjung, Cik Nur Izzaty Tudin Shobaruddin, 32, menyifatkan kehadirannya bersama rakan-rakan dari Triang, Bera, umpama langkah kanan kerana dapat bertemu Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang.

“Nampak orang beratur panjang-panjang, bila tanya orang, orang cakap Tengku Ampuan Pahang ada bagi bubur lambuk. Langkah kanan betul datang sini.
“Ini tahun kedua saya dan kawan-kawan berbuka di Kuantan. First time nak rasa air tangan Tuanku. Tadi pun rasa macam jumpa idola bila dapat jumpa Tuanku depan-depan,” katanya yang bekerja di bahagian kesihatan dan berasal dari Kuala Lumpur. -PAHANGMEDIA

