Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
BERA, 17 MAC 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli ke Majlis Tadarus Dan Khatam Al-Quran Wanita Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 2025.
Paduka Baginda yang mengenakan baju kurung berwarna kuning lembut telah berangkat tiba ke Masjid Darul Fikri pada 10.50 pagi dan disambut oleh isteri YAB Menteri Besar Pahang, YABhg. Datin Sri Dato’ Burhah Mohammed.

Turut menyambut keberangkatan tiba Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Hajah Sabariah Saidan; isteri Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YH. Datin Sri Sharifah Farunai Syed Ahmad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, YB. Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin; dan Pegawai Daerah Bera, YH. Dato’ Ahmad Nasim Dato’ Haji Mohd Sidek.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Al-Fadhil Qhadi Daerah Bera, dan kemudiannya diteruskan dengan Majlis Tadarus dan bacaan Al-Quran serta Majlis Khatam Al-Quran dan doa Khatam Al-Quran yang dipimpin oleh Johan Qariah Tilawah Al Quran Peringkat Negeri Pahang Tahun 2025, Siti Fatimah Mohd Nor.
Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang kemudiannya berkenan bercemar duli mengurniakan sumbangan kepada 50 asnaf sebelum berangkat pulang pada 12.10 tengah hari.

YB. Dato’ Hajah Sabariah dalam persembahan ucapan berkata, majlis ini telah memasuki tahun ke-14 penganjuran dan merupakan salah satu pengisian program Kerajaan Negeri Pahang sempena menyambut bulan Ramadan.
Seramai 1,000 peserta daripada pelbagai daerah dan pertubuhan telah menyertai program yang bertujuan menghidupkan lagi suasana ramadan di Negeri Pahang selain mengambil peluang mengumpulkan golongan wanita dalam satu majlis ilmu yang banyak memberikan manfaat. -PAHANGMEDIA

