Oleh : Shahfitri Zulkifli
ROMPIN , 05 MAC 2025 : Sebanyak 412 gerai dan 940 pengendali makanan di Pahang telah diperiksa, manakala 24 notis kehadiran ke mahkamah di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 telah dikeluarkan dalam tempoh dua hari Ramadan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, antara kesalahan yang dikesan, pengendali makanan tidak memakai topi, apron dan kasut semasa mengendalikan makanan serta gagal memastikan kuku sentiasa pendek selain memakai perhiasan diri ketika mengendalikan makanan.
“Sebanyak 18 sampel makanan sedia dimakan telah diambil pada minggu pertama Ramadan dan telah dihantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan Pahang bagi analisis mikrobiologi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Walkabout Kempen Keselamatan Makanan Di Bazar Ramadan Peringkat Negeri Pahang Tahun 2025 Tapak Pasar Minggu Kuala Rompin, di sini semalam.
Katanya lagi, taklimat keselamatan makanan telah diadakan di setiap daerah melibatkan semua peniaga sebelum bazar Ramadan bermula.
“Langkah itu bagi memastikan peniaga peka terhadap isu berkaitan keselamatan makanan. Penggunaan kod QR Aduan Kebersihan dan Keselamatan Makanan di bazar Ramadan juga turut diperluaskan di seluruh lokaliti bazar Ramadan di negeri Pahang.
“Ia sebagai medium bagi memudahkan orang awam menyalurkan sebarang aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan di bazar-bazar Ramadan di negeri ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

