Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
PEKAN, 05 MAC 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan memasyhurkan nama Masjid Kampung Padang Polo kepada nama Masjid Tengku Ampuan Besar Fatimah, di sini semalam.
Pemasyhuran nama masjid yang dibina sejak tahun 1995 itu adalah bersempena nama Almarhumah nenda Paduka Baginda, Almarhumah Tengku Ampuan Besar Pahang Raja Hajjah Fatimah binti Almarhum Sultan Iskandar Shah.
Keberangkatan Paduka Baginda ke masjid berkenaan diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Paduka Baginda dalam titahnya mengingatkan agar rakyat untuk sentiasa mengimarahkan masjid dengan solat berjemaah lima waktu dan majlis ilmu.
“Penuhilah rumah-Nya yang mulia ini dengan solat berjemaah lima waktu, kerana setiap langkah yang dihayun ke masjid membawa keberkatan, setiap saf yang dirapatkan mengundang rahmat dan setiap sujud yang tertunduk, menyinari hati dengan cahaya keimanan.
“Jangan biarkah mihrab ini sunyi tanpa imam, jangan biarkan ruangnya lengang tanpa jemaah, jangan biarkan mimbar ini sepi tanpa ilmu,” titah Paduka Baginda ketika berkenan berangkat ke Majlis Pemasyhuran Nama Baharu Masjid Kampung Padang Polo, Pekan dan Berbuka Puasa, di sini semalam.
Majlis turut dihadiri YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob; YB. Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Saiful Edris Zainuddin dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan.

Dalam majlis berkenaan, Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan dua buah rumah Ru’Rasa bernilai RM150,000 kepada imam dan bilal Masjid Tengku Ampuan Besar Fatimah selain mengurniakan sumbangan kepada 100 orang asnaf di kawasan sekitar.
Paduka Baginda dalam pada itu turut bertitah bahawa Padang Polo ditempat terletaknya masjid berkenaan merupakan lokasi Paduka Baginda selaku generasi keempat bermain polo sejak diawal usia justeru mengingatkan rakyat agar menjadikan sukan sebagai jambatan kesihatan.
“Di sebalik namanya, tersirat hikmah yang mendalam, mengingatkan kita bahawa Islam tidak hanya mengangkat rohani sebagai tunjang kehidupan, tetapi turut menekankan pentingnya jasmani yang sihat dan kuat.
“Maka, marilah kita jadikan sukan sebagai jambatan kesihatan, dan riadah sebagai wasilah keutuhan jasmani,” titah Paduka Baginda. -PAHANGMEDIA

