Oleh : Norhafizan Zulkifli & Safiah Hanani Norhalizan
KUANTAN, 28 FEBRUARI 2025 : Pertubuhan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (PPNP) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas pertuduhan menduduki tanah Kerajaan Negeri Pahang secara tidak sah.
PPNP yang diwakili bendaharinya, Wan Aidie Amin Wan A. Aziz bagimanapun tidak mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.
Berdasarkan kertas pertuduhan, PPNP didakwa telah melakukan kesalahan tanpa kebenaran yang sah menduduki tanah Kerajaan Negeri Pahang di kordinat RSO (WMA 436197, WA 566952) serta RSO (WMA 436236, WA 566960) di Kampung Kawah, Mukim Hulu Kuantan, di sini.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan terbabit pada 18 Jun tahun lalu sekitar jam 2.00 petang.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa dibawah Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara (Revised 2020) Akta 828 suatu kesalahan di mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi lima ratus ribu ringgit, atau dipenjarakan untuk suatu tempoh yang tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pertuduhan juga boleh membawa kepada hukuman di bawah Seksyen 426C(3) Kanun Tanah Negara (Revised 2020) Akta 828 iaitu suatu perintah untuk pelucuthakan benda itu hendaklah dibuat jika dibuktikan dengan memuaskan kepada mahkamah bahawa suatu kesalahan di bawah Seksyen 425 telah dilakukan dan bahawa benda itu adalah hal perkara atau digunakan dalam melakukan kesalahan itu.
Pendakwan dikendalikan oleh oleh Pegawai Pendakwa daripada Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pahang, Encik Muhammad Najmi Zaki Amer Suhaimi dan Encik Muhammad Taqiuddin Azizan manakala tertuduh diwakili peguam Asiah Abdul Jalil.
Mahkamah memutuskan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 selain enetap 18 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes. -PAHANGMEDIA

