Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 28 FEBRUARI 2025 : Sultan Pahang menasihatkan semua pihak supaya tidak memperbesarkan sesuatu isu sehingga boleh menggugat keharmonian.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah menyelesaikan masalah secara berhikmah adalah lebih baik.
“Dalam suasana dunia yang semakin mencabar, saya menasihatkan supaya kita tidak membesar-besarkan sesuatu isu sehingga boleh menggugat keharmonian.
“Sikap berlapang dada, bertolak ansur, dan menyelesaikan masalah secara hikmah adalah lebih baik daripada menimbulkan kekacauan yang merugikan semua pihak. Ingatlah bahawa kedamaian lebih bernilai daripada pertelingkahan,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah dalam titah turut mengingatkan semua pihak untuk meninggalkan sikap suka memfitnah, menabur kebencian, dan menyebarkan berita yang tidak benar.
“Pada masa yang sama, pembangkang juga perlu memainkan peranan yang membina. Kritikan yang diberikan hendaklah dalam bentuk cadangan yang baik, dan bukan semata-mata untuk menimbulkan perpecahan.
“Semua pihak, kerajaan, pembangkang, dan rakyat mesti meninggalkan sikap suka memfitnah, menabur kebencian, dan menyebarkan berita tidak benar.
“Sikap seperti ini hanya akan melemahkan perpaduan dan menghakis nilai moral dalam masyarakat,” titah baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian pada Program Himpunan Pahang Bermunajat, Raja Berdaulat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan.
Turut bercemar duli, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Saiful Edris Zainuddin; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan. -PAHANGMEDIA

