Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 17 FEBRUARI 2025: Kerajaan Negeri mengalakkan lebih ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyambung pengajian dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini kerana mereka yang mempunyai kemahiran akan memiliki masa hadapan yang lebih terjamin.
“Kalau masuk TVET ini, ada skil, ada kemahiran. Kalau anak-anak ini dibaling ke langit pun akan jadi bintang, kalau dibaling ke laut jadi pulau, kalau tinggal di bumi menjadi pohon yang rendang. Sebab mereka ini ada kemahiran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kem Kepimpinan KEM A-PLUS 2025 bertempat di Institut Latihan Memperkasakan Ummah (ILMU), Kampung Janda baik, di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), YH. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki, Pengerusi Yayasan Pelajaran MARA (YPM), YH. Dato’ Sri Dr. Hj. Ismail Hj. Mohamed Said dan Pengarah Sekretariat Mahasiswa Anak Pahang, YH. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin.
Seramai 400 pelajar terpilih lepasan SPM dari Cameron Highland, Kuala Krau, Temerloh dan Maran terlibat dalam program yang dianjurkan YPM terbabit.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy dalam pada itu berkata, Kerajaan Negeri bersedia membantu pelajar yang terlibat dalam program berkenaan untuk melanjutkan pengajian di mana-mana institusi di seluruh negara.
“Program yang dibuat ini bukan berakhir di sini sahaja. Yang akan melanjutkan pelajaran, kita pastikan MARA akan tengok. Kalau yang nak buat TVET, kita pastikan mereka ini djaga dengan baik,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu merakamkan ucapan tahniah kepada pelajar Skuad YPM kerana terpilih di mana mereka ini akan menjadi aset bernilai yang akan mewarisi kepimpinan di pelbagai peringkat baik di Negeri Pahang mahupun negara. -PAHANGMEDIA