Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 10 FEBRUARI 2025 : Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Pahang telah menyampaikan pencen penakat kepada ibu tunggal lima anak yang kematian suami di Lipis.
Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Abdul Rahman Hj Mohamad, buat waris Fazli Mustaffa, 48, yang meninggal dunia akibat sakit jantung pada 23 Disember 2024 layak menerima kira-kira RM1,600 sebulan.
“Hasil caruman perlindungan sosial oleh majikan serta dirinya sendiri kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membolehkan warisnya, Rosila Abdul Rahim, 45, dan lima anaknya menerima faedah PERKESO yang dapat memberi harapan baharu di sebalik kesukaran dihadapi.

“Rosila dan lima anaknya yang berusia antara 12 hingga 20 tahun menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM3,000 dengan sekali bayar dan Pencen Penakat sebanyak RM1,593 sebulan untuk seumur hidup,” katanya.
Beliau berkata caruman PERKESO ini sedikit sebanyak dapat membela masa depan keluarga sekiranya terjadi perkara yang tidak diingini kepada pencarum.
“Kita tidak pernah tahu masa depan kita dan keluarga, namun dengan caruman kepada
PERKESO, sekurang-kurangnya bila kita tiada, masa depan keluarga masih terbela hasil
daripada caruman kita selama ini. Begitulah pentingnya caruman kepada PERKESO.
“Sekarang pun bukan hanya pekerja bermajikan, pekerja sendiri hatta suri rumah pun boleh dilindungi menerusi skim-skim disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Ramah Mesra Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 di Kuala Lipis.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim, Pengarah PERKESO
Pahang, Hisham Abdul Rahman dan beberapa wakil persatuan usahawan di Kuala Lipis.
Majlis ini turut melibatkan penyerahan faedah kepada lima penerima di sekitar Kuala Lipis dengan jumlah keseluruhan RM32,960.03 serta penyerahan faedah kepada dua penerima Pencen Ilat iaitu seorang penerima faedah Hilang Upaya Kekal (HUK) dan seorang penerima faedah Hilang Upaya Sementara (HUS). -PAHANGMEDIA

