Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 07 FEBRUARI 2025 : Semua jabatan di seluruh Negeri Pahang akan menggunapakai proses perolehan secara digital menjelang akhir tahun ini.
Menurut YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, proses yang selaras dengan Pelan Digital Negeri kini berada dalam peringkat akhir pendigitalan sebelum dilaksanakan.
“Pihak Kerajaan Negeri selaras dengan Pelan Digital Negeri kini dalam peringkat akhir pendigitalan proses perolehan untuk digunapakai oleh semua jabatan negeri menjelang akhir tahun 2025.
“Perancangan perolehan tahunan yang tidak menyeluruh menyebabkan perolehan tidak dapat dilaksanakan mengikut tempoh masa yang bersesuaian dan tidak mengikut tatacara yang ditetapkan sepenuhnya.

“Ini disebabkan kurangnya pengetahuan berkaitan pengurusan perolehan dikalangan pengendali perolehan di jabatan serta agensi terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Libat Urus Bersama Kementerian Kewangan (MOF) Berhubung Dengan Penggubalan Rang Undang-undang Peroleh Kerajaan di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Pahang.
Turut hadir, Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan, YBhg. Dato’ Indera AB Rahim Ab Rahman.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri Pahang juga telah menerima pakai Pekeliling Perbendaharaan yang berkuatkuasa pda 3 Julai 2014 yang turut melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan Berkanun Negeri.

“Kerajaan Negeri Pahang telah menerima pakai Pekeliling Perbendaharaan (PP) dengan pindaan dari semasa ke semasa selaras dengan persetujuan Majlis Mesyuarat Kerajaan ke 26/2014 dan berkuat kuasa pada 3 Julai 2014.
“Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan Berkanun Negeri juga turut menerima pakai Pekeliling Perbendaharaan dengan pindaan terutamanya melibatkan Pihak Berkuasa Melulus (PBM),” katanya.
Menurut beliau, taklimat pada hari ini bertujuan untuk berkongsi maklumat berkaitan skop dan elemen Rang Undang-Undang (RUU) selain mendapatkan pandangan awal daripada Kerajaan Negeri Pahang.
“Satu taklimat berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan yang disampaikan oleh MOF bertujuan untuk berkongsi maklumat berkaitan skop dan elemen RUU tersebut serta mendapatkan pandangan awal daripada pihak Kerajaan Negeri berkaitan cadangan tersebut,” katanya. -PAHANGMEDIA

