Oleh : Norhafizan Zulkifli
PEKAN, 7 FEBRUARI 2025 : Bapa seorang anak yang menghidap sakit jantung akan menggunakan sumbangan diberikan oleh Kerajaan Negeri Pahang untuk keperluan rawatan anaknya itu.
Bapa, Ahmad Shakirin Md Yusof, 37, berkata, anak bongsu dari empat beradik, Aduni Insyirah, 4 bulan, baharu saja selesai menjalani pembedahan jantung hujung tahun lalu.
Katanya, dia merakamkan penghargaan kepada YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan Kerajaan Negeri Pahang atas sumbangan yang diberikan tersebut.
“Saya rasa bersyukur atas penerimaan ini. Saya berharap program seperti dapat berjalan dan diteruskan (di masa akan datang).
“Sumbangan ini saya akan gunakan untuk keperluan anak saya seperti lampin, susu dan perjalanan rawatannya selepas ini,” katanya selepas majlis penyerahan cek sumbangan Kerajaan Negeri Pahang bertempat di Kediaman Seri Kenangan, di sini hari ini.

Sumbangan terbabit disampaikan oleh Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib.
Bercerita lanjut, Ahmad Syakirin berkata, anaknya disahkan menghidap sakit jantung sejak lahir dan keadaan anaknya kini sudah semakin pulih.
Seorang lagi penerima, Roshana Mohd Ali, 55, sumbangan yang diterima bertujuan untuk menampung kos rawatan suaminya, Zamri Awang, 55, yang menghidap sakit buah pinggang tahap akhir.
“Dengan sumbangan ini dapatlah meringankan beban saya. Suami saya tidak bekerja kerana sakit buah pinggang tahap akhir.
“Terima kasih kepada wakil rakyat saya kerana membantu saya,” kata ibu kepada dia anak yang turut menghidap sakit asma dan darah tinggi. -PAHANGMEDIA

