Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 02 FEBRUARI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang telah memeterai enam Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan industri ternakan dan pendidikan di Australia sepanjang Lawatan Teknikal Penandaarasan Sektor Pertanian, Penternakan dan Perikanan Negeri Pahang ke Australia yang diketuai oleh YAB. Menteri Besar Pahang.
Menurut satu kenyataan media oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, kesemua ini akan memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini.
“Sebanyak enam Memorandum Persefahaman (MoU) telah berjaya dimeterai sepanjang lawatan kerja ini, iaitu, AGK Dairy Fresh Sdn Bhd dan Austrex Co, bagi menjalin kerjasama strategik pembangunan industri daging wagyu di Pahang; Yayasan Pahang dan Komuniti Islam Cobram, bagi melaksanakan program Tafaqquh Fiddin, tenaga pengajar, dan penyediaan bahan rujukan Islam.

“Rangkaian Delima Sdn Bhd dan JBS Australia PTY Limited, bagi menjalin kerjasama dalam pengimportan, pengedaran, dan pembangunan produk halal berasaskan daging; Rangkaian Delima Sdn Bhd, ZML Agritrade PTY LTD dan Australia Halal Authority and Advisers, bagi menjalin Kerjasama dalam memastikan rantaian bekalan halal yang patuh syariah.
“Lembaga Kemajuan Pertanian Pahang (LKPP) dan ZML Agritrade PTY LTD, begi melaksanakan projek ternakan kambing dan bebiri berkualiti tinggi; dan Yayasan Pahang dan ZML Agritrade PTY LTD, bagi melaksanakan pembangunan latihan, amali dan jaminan kerjaya anak Pahang dalam pertanian, penternakan dan perikanan,” katanya.

Beliau berkata Lawatan Teknikal Penandaarasan Sektor Pertanian, Penternakan dan Perikanan Negeri Pahang ke Australia selama lapan hari bermula 28 Januari yang turut disertai Exco Pertanian Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak ini juga bertujuan memperkukuh sektor keterjaminan makanan Negeri Pahang.
“Sepanjang lawatan, delegasi ini telah mengadakan beberapa sesi lawatan teknikal ke lokasi-lokasi strategik seperti Mainstream Aquaculture, Werribee Victoria, bagi menelihat teknologi dan sistem penternakan ikan siakap (barramundi); Goulburn Valley Creamery dan ladang lembu Greater Shepparton, bagi melihat proses penghasilan produk tenusu bersama Farm Fresh Berhad.

“Rumah Penyembelihan Ternakan JBS, bagi melihat proses penyembelihan dan pemprosesan daging yang mematuhi pensijilan halal oleh pihak berkuasa Australia; melawat ladang ternakan lembu dan bebiri di Cobram yang diusahakan oleh anak jati Temerloh Pahang, Encik Mohd Zaki Mat Lias.
“Melawat ladang Fidlot Ulupna Pastoral, bagi meninjau penternakan lembu wagyu dan angus berkualiti tinggi; dan menyantuni komuniti Islam Cobram, bagi mengeratkan hubungan serta memperteguh syiar Islam di luar negara,” katanya.
Menurut beliau lawatan ini merupakan satu langkah strategik dalam memastikan Pahang terus mengorak langkah sebagai peneraju dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan utama di Malaysia.
“Dengan pemindahan teknologi dan kerjasama yang terjalin, kerajaan negeri yakin usaha ini akan memberi manfaat kepada rakyat, meningkatkan keterjaminan makanan serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak Pahang.
“Semoga segala usaha untuk meningkatkan pembangunan di negeri Pahang mendapat rahmat serta keredhaan Allah SWT,” katanya. -PAHANGMEDIA

