Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 01 FEBRUARI 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli ke majlis sambutan Tahun Baharu Cina di Menara Kuantan 188.
Turut bercemar duli, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut mengiringi keberangkatan tiba Paduka Baginda pada 10 pagi, YAM Tengku Panglima Perang Leftenan Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Paduka Baginda turut disambut rakyat yang memenuhi meja sepanjang 300 meter bagi Majlis Yee Sang Tossing Kuantan di Jalan Taman berhadapan Laman Kuantan 188.
Baginda kemudiannya meluangkan masa bercemar duli hampir setengah jam menyantuni peniaga dan rakyat jelata yang mengunjungi Pasar Sera di sekitar kawasan menara berkenaan.

Seterusnya Paduka Baginda dan Tengku Mahkota Pahang telah menyantuni 15 pelukis berkonsepkan Manifestasi Seni 2 Karya : Dari Novel ke Exhibition dan kaligrafi lukisan dan tulisan Cina di dalam menara.
Kebawah Duli Paduka Baginda seterusnya berkenan menyempurnakan gimik pembakaran mercun sepanjang 900 meter yang digantung sehingga ke puncak Menara Kuantan 188 sebelum berangkat pulang.
Turut hadir, YB. Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin; Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Cik Leong Yu Man; Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi, Inovasi Dan Alam Sekitar Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib; dan Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB. Encik Sim Chon Siang. -PAHANGMEDIA

