Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 31 JANUARI 2025 : Kes kemalangan jalan raya bagi Ops Selamat dalam tempoh tiga hari di Pahang meningkat sebanyak 23 kes kepada 199 kes berbanding tempoh sama tahun lepas.
Menurut Timbalan Ketua Polis Pahang, DCP Dato’ Noor Hisam Nordin, statistik jumlah kemalangan di lebuh raya dan lain-lain jalan bagi tahun ini juga menunjukkan peningkatan ketara.
“Kes kemalangan di Negeri Pahang semasa tempoh tiga hari Ops Selamat pada tahun 2024 adalah sebanyak 176 kes dan menaik pada tahun 2025, iaitu sebanyak 199 kes. Kenaikan adalah sebanyak 23 kes kemalangan jalanraya.

“Jumlah kemalangan tertinggi adalah di jalan persekutuan sebanyak 71 kes namun ia menunjukkan penurunan berbanding tempoh sama tahun lepas sebanyak 80 kes.
“Ia diikuti kes di lebuh raya sebanyak 39 kes berbanding 21 kes tahun lepas; lain-lain jalan sebanyak 32 kes berbanding 15 kes tahun lepas; jalan bandaran merekodkan 30 kes berbanding 36 kes tahun lepas; dan jalan negeri merekodkan 27 kes berbanding 24 kes tahun lepas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan advokasi dan penyerahan cenderahati kepada pemandu bas dan pengguna pada Kempen Ops Selamat Tahun Baharu Cina Peringkat Kontinjen Pahang di Terminal Sentral Kuantan.

Beliau berkata bagi kes kemalangan maut tiada perubahan direkodkan berbanding tahun lepas yang mana masing-masing melibatkan dua kes.
Tambah beliau, pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) juga telah mengeluarkan 3,396 saman di atas pelbagai kesalahaan dalam Ops Selamat tahun ini.
“Manakala untuk pengeluaran saman sepanjang tempoh Op Selamat tahun 2024 adalah sebanyak 5,335 keping saman.
“Manakala untuk tempoh sama Op Selamat 2025 ada penurunan ketara iaitu sebanyak 3,396 keping saman telah dikeluarkan kepada pesalah-pesalah trafik yang gagal mematuhi peraturan lalulintas atas pelbagai kesalahan,” katanya.
Beliau turut menasihati semua pengguna jalan raya untuk mematuhi undang-undang jalan raya dan para pengusaha syarikat perkhidmatan awam hendaklah memastikan kenderaan yang digunakan dalam keadaan selamat. -PAHANGMEDIA

