Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 28 JANUARI 2025 : Aspek tatakelola, memudahkan urusan, dan kolaborasi antara jabatan dan agensi merupakan tiga perkara utama yang perlu ditambahbaik oleh penjawat awam di negeri ini.
Menurut YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob, penambahbaikan terhadap aspek ini adalah bagi memastikan perkhidmatan awam di negeri ini lebih cekap.

“Dalam pada kita nak merancang dan sebagainya ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki. Benda dah elok tapi kita boleh kemaskan lagi.
“Pertamanya dari segi governance, kena elok, kena kemas, sebab tatakelola ini bukan sahaja integriti tetapi cara kita buat kerja dan kita kena buat kerja dengan betul, ikut peraturan yang ada, tak salah kalau kita nak tolong orang tetapi jangan kita langgar undang-undang atau peraturan yang ada.

“Keduanya kita perlu perkemaskan tentang the ease of doing business. Ini di peringkat mana pun bahkan Tuanku pun menitahkan supaya kita lihat betul-betul the ease of doing business ini. Menteri Besar pun (sebut). Jadi macam mana kita nak mempercepatkan keputusan, bukan kelulusan sebab ini ada perkaitan dengan pertumbuhan ekonomi.
“Dan ketiganya berkenaan collaboration, kerjasama. Kita tak boleh jadi katak bawah tempurung atau kita tak boleh kerja ikut silos kita sahaja. Maknanya sefahaman antara jabatan itu perlu kita baiki lagi dan ini usaha kita dalam kita nak membangunkan negeri kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perjumpaan YB Setiausaha Kerajaan Pahang Bersama Penjawat Awam Negeri Pahang Darul Makmur di Dewan Blok C, Wisma Sri Pahang.
Turut hadir, YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Saiful Edris Zainuddin; dan YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar.
Beliau berkata penambahbaikan ini perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang perancangan bagi memastikan perkhidmatan di negeri ini lebih kemas dan tersusun. -PAHANGMEDIA

