Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 28 JANUARI 2025 : Pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang melanjutkan pengajian di Jordan akan memainkan peranan penting dalam memperkasa ekosistem halal di negara ini.
Menurut Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, ini kerana lebih ramai tenaga pakar akan diperlukan di bawah perancangan Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia bukan sahaja dari faktor pensijilan tetapi juga melibatkan aspek tadbir urus dan kawalan proses.
“Majlis Pembangunan Industri Halal yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kini sedang berusaha membangunkan ekosistem halal secara menyeluruh, seiring dengan kejayaan negara dalam membangunkan industri kewangan dan perbankan Islam.
“Kita harus ingat, Malaysia telah diiktiraf sebagai negara terkemuka dalam industri halal. Oleh itu, kita mahu memastikan ekosistem halal ini terus diperkukuh secara holistik bukan hanya dalam konteks sijil halal sahaja.
“Jadi, pengerusi majlis bersama jawatankuasa yang dilantik kini sedang meneliti semua aspek ekosistem halal, termasuk tadbir urus, perundangan, pembangunan sumber manusia, serta pengantarabangsaan, untuk memastikan ia berkembang secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Tamat Kursus Intensif Bahasa Arab (KIBA) untuk 124 pelajar sesi 2024/2025 di UCYP University.
Turut hadir, Naib Canselor UCYP University, YH. Profesor Dato’ Dr. Muhammad Fauzi Mohd Zain; dan Pengerusi Lembaga Pengelola UCYP University, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Prof. Dr. Noorul Ainur Mohd Nur.
Tambah beliau, pengiktirafan halal selain persijilan, turut melibatkan tadbir urus dan kawalan berterusan bagi memastikan ia mematuhi prinsip halal dan toyyiban yang menjadi contoh kepada dunia.
“Jumlah syarikat yang memohon pengiktirafan halal terus meningkat setiap tahun, dan kita memerlukan lebih ramai tenaga pakar untuk memantau dan memastikan industri halal kita berkembang dengan baik.
“Audit berkala sahaja tidak mencukupi, tapi kita perlu tenaga mahir yang mampu mengawal dan memperkukuh ekosistem halal ini agar Malaysia terus menjadi contoh kepada dunia,” katanya.
Seramai 103 pelajar tajaan MARA melalui Program Pembangunan Bakat Muda (YTP) telah menamatkan kursus selama enam bulan sebagai persediaan pelajar dalam bahasa Arab dan kepimpinan sebelum melanjutkan pengajian ke Jordan.
Kesemua pelajar dibawah kursus dengan kerjasama MARA dan Yayasan Pahang ini akan melanjutkan pelajaran ke universiti terpilih di Jordan, termasuk Universiti Jordan, Universiti Al Albayt, dan Universiti Mu’tah.-PAHANGMEDIA

