Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 28 JANUARI 2025 : Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan mengadakan pemantauan secara berterusan terhadap 344 fasiliti dibawah pengurusan pihaknya bagi memastikan ia ditambahbaik dan selesa didiami.
Menurut Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, pihaknya turut meletakkan keutamaan kepada perkara yang menjadi asas keselesaan dan kebajikan di institusi pendidikan MARA.
“Saya nampak ada perkembangan positif bahkan saya sendiri yang akan memantau apa juga proses penambahbaikan fasiliti dan dalam masa terdekat saya juga akan kembali ke beberapa MRSM bagi mengadakan lawatan bagi memastikan fasilitinya ditambahbaik secara radikal.
“Ada dalam sosial media saya, MRSM yang ada kualiti fasilitinya yang berada dalam keadaan yang teruk ketika saya terjah, dan kita telah bagi mereka masa dan sudah tiba masanya kembali untuk saya lihat progressnya.
“Saya juga tekankan kepada pengurusan MARA untuk mengadakan pemantauan secara berterusan, dan keduanya letakkan keutamaan kepada perkara-perkara yang mejadi asas kepada keselesaan dan kebajikan warga institusi pendidikan MARA,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Tamat Kursus Intensif Bahasa Arab (KIBA) untuk 124 pelajar sesi 2024/2025 di UCYP University.
Turut hadir, Naib Canselor UCYP University, YH. Profesor Dato’ Dr. Muhammad Fauzi Mohd Zain; dan Pengerusi Lembaga Pengelola UCYP University, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Prof. Dr. Noorul Ainur Mohd Nur.
Tambah beliau fasiliti pendidikan ini termasuk Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), German-Malaysian Institute (GMI), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan lain-lain fasiliti mereka.
Beliau berkata beliau juga akan mencari ruang dan peluang bagi mengadakan pemantauan terhadap semua 344 fasiliti MARA. -PAHANGMEDIA

