Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 27 JANUARI 2025 : Kerajaan Negeri menyampaikan sumbangan wang tunai bernilai RM1,000 setiap seorang kepada tiga pelajar Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Keledang atas kejayaan mereka memenangi pingat emas kategori Robotik Inovasi pada International Robot Olympiad ke-26 2024/2025 di Busan, Korea Selatan, sebelum ini.
Tiga pelajar, Hafiezie A/L Azwanizizi, 12, Matthew Jambai A/L Karong, 11, dan Fizrey Rovince A/L Ronachai, 12, masing-masing menerima sumbangan berkenaan disampaikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu sesi pertemuan di Geo Resort Hotel, Genting Highlands, di sini hari ini.
Hafiezie berkata, sumbangan yang diberikan dapat digunakan untuk menampung perbelanjaan bagi memulakan sesi persekolahan di sekolah menengah yang akan bermula tidak lama lagi.
“Sumbangan yang diterima hari ini, boleh kami guna untuk membeli kelengkapan dan peralatan sekolah nanti seperti pensel dan buku. Jadi terima kasih Menteri Besar atas sumbangan tadi,” katanya.
Bercerita lanjut tentang kemenangan yang diperoleh Hafiszie berkata, dia dan pasukannya tidak menyangka akan memperoleh pingat emas dalam pertandingan terbabit.
“Kami berhadapan dengan cabaran dari segi secara spontan jadi kita perlu fikir nak buat inovasi apa berdasarkan tema yang diberikan. Lepas itu kita kena bentang kepada para juri dalam masa dua minit.
“Perasaan itu, tak sangka kami boleh menang pingat emas sebab yang bertanding sama itu ramai. Terima kasih kepada Menteri Besar dan juga terima kasih kepada yang memberi sumbangan dan sokongan kami,” katanya.
Guru Penolong Kanan Pentadbiran SK Pematang Keledang, Wan Rahmat Wan Ismail pula berkata, kejayaan yang dicaapai itu tidak akan terhenti di situ sahaja, sebaliknya pihak sekolah turut merangka untuk menyertai beberapa pertandingan lain pada tahun ini.
“Perancangan untuk kita akan datang, kita akan mulakan dari seawal usia 10 tahun, maknanya bila pelajar masuk tahap 2, kita sudah dedahkan apa itu robot, asas-asas robot bagi mereka kenal dan minat. Bila dah kenal, dan minat, barulah kita asuh dan bawa keluar ke peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.
“Untuk sasaran kita tahun ini, kita ada beberapa acara yang kita akan masuk antaranya yang paling terhampir pada bulan April kita akan masuk acara Penang International Robotic Competition di Taiping dan pada bulan Mei, kita mungkin masuk International Robotic Tournament di Miri, sarawak.
“InsyaAllah lah kita juga akan menyertai dan doakan kejayaan kita. Dan juga bulan Oktober kita akan turut serta acara MakeX Competition yang diadakan setiap tahun,” ujarnya.
Guru Penolong Kanan Kokurikulum SK Permatang Keledang, Zulkhairil Umar, pula merakamkan penghargaan kepada semua penaja yang telah menaja sepanjang penyertaan pelajar sekolah terbabit ke pertandingan berkenaan.
“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepaada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pihak menteri Pendidikan, kepada pihak JPNP, kepada pihat Pejabat pendidikan Daerah (PPD), pihak Petrosains dan juga kepada penaja kami iaitu ORACO, Yayasan Pahang, MyKasih Foudation dan pihak Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib atas sumbangan dan sokongan kepada kami untuk dana kami sepanjang kami ke Busan.
“Terima kasih juga kepada pihak YAB. Menteri Besar atas sumbangan dan komitmen yang setakat ini memang dari awal sentiasa memberi sokongan untuk anak-anak SK Permatang Keledang,” tambahnya. -PAHANGMEDIA

