Oleh : Ain Nadhirah Basha
LIPIS, 27 JANUARI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang telah mengemukakan permohonan peruntukan baharu bagi memasang lampu jalan di laluan gelap di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) yang bermula daripada Genting Sempah di Bentong.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, perkara ini bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna laluan berkenaan.
“Saya akui bahawa berlaku kegelapan cuma apa yang dimaklumkan kepada saya bahawa pernah dipasang (lampu jalan) satu ketika dahulu tetapi lampu-lampu itu dicuri pihak tidak bertanggungjawab.
“Jadi untuk mendapatkan peruntukan baharu, ambil masa sedikit, tetapi itu bukan alasan bagi kita dan kita akan pastikan nanti (pemasangan lampu jalan) supaya perkara yang tidak diingini tidak berlaku di masa akan datang,”katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2025 di Dewan Serbaguna SJKC Jerkoh, Benta. -PAHANGMEDIA

