Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 25 JANUARI 2025 : Program Moh Karnival Makmur 2024 menutup tirainya pada hari ini dengan Felda Sungai Koyan, di sini, dipilih sebagai destinasi terakhir.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pada tahun ini, program berkenaan diteruskan lagi namun dengan sedikit penambahbaikan.

Katanya, bagi program Moh Karnival Makmur 2025, ianya akan berlangsung dengan menggabungkan program berkenaan dan Program Karnival Tanah Pahang.
“Kita akan teruskan lagi dalam keadaan ada sedikit tambahbaik di mana kita gabungkan Karnival Makmur ini dengan Karnival Tanah,” katanya selepas selesai merasmikan Majlis Perasmiaan Moh Karnival Makmur Peringkat Lipis bertempat di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Jelai, Felda Sungai Koyan, di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB. Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor; Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam.

Menurut YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy, kedua-dua karnival berkenaan bakal berjalan serentak bagi memudahkan urusan orang ramai untuk hadir ke kedua-dua program itu selain lebih menjimatkan kos.
“Jadi memudahkan orang ramai untuk datang selain datang untuk mendapatkan barangan bersempena Jualan Makmur, dalam masa sama kita ada Karnival Tanah yang membolehkan mereka untuk membayar cukai tanah atau untuk bertanya apa-apa perkembangan berkenaan tanah mereka.
“Maknanya dua dalam satulah… memudahkan orang ramai. Kalau tidak kita kena buat dua kali dan ini melibatkan kos, masa dan sebagainya,” ujarnya. -PAHANG MEDIA

