Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 25 JANUARI 2025 : Program Berkhatan Anak Pahang 2025 merupakan inisiatif Kerajaan Negeri bagi membantu meringankan beban ibu bapa dalam menanggung kos bersunat yang dikatakan kini mencecah hampir RM200 seorang.
Program yang melibatkan kira-kira 3,500 orang kanak-kanak di seluruh negeri ini itu disempurnakan pelancarannya hari ini oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail bertempat di Dataran Masjid Sultan Ahmad Shah, Felda Sungai Koyan, di sini.

Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, sebanyak RM1.3 juta diperuntukkan untuk program berkenaan yang dijalankan bermula hari ini sehingga 10 Februari nanti.
Majlis turut dihadiri Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam.
Bapa salah seorang peserta, Azhar Rahman, 57, berkata, program seumpama itu sangat membantu ibu bapa yang mahu mengkhatankan anak mereka tanpa mengeluarkan sebarang kos.

Katanya, dengan keadaan ekonomi kini, mengkhatankan dua anak lelaki berusia 11 dan 10 tahun itu boleh menelan kos sehingga RM400.
“Kalau pergi swasta mahal. Dengan adanya insiatif Kerajaan Negeri ini dapatlah membantu sedikit sebanyak. Terima kasihlah kepada Kerajaan Negeri kerana sudi membantu meringankan beban rakyat.
“Saya ada lima orang anak dengan tiga darinya merupakan anak lelaki. Anak lelaki yang pertama saya bawa sunat di klinik swasta dan memang tinggilah kosnya,” katanya.

Seorang lagi bapa peserta, Saharudin Basir, 53, berkata, ini merupakan kali pertama dia membawa anak ketiga dari empat orang anaknya menyertai program berkhatan berkenaan.
“Terima kasih Kerajaan Negeri Pahang kerana menganjurkan program sebegini. Saya harap program seumpama ini dapat diadakan pada setiap tahun,” ujarnya.

Bagi seorang lagi bapa, Mohd Hafizi Yunus, 37, pula berkata, dia pernah mengeluarkan kos sebanyak RM180 bagi mengkhatankan anak lelaki sulungnya.
“Sebelum ini anak pertama saya berkhatan di klinik swasta. Memang banyak beza dari segi kos. Anak pertama saya, RM180 saya kena bayar. Kali ini dengan inisiatif ini dapat secara sempurna. Terima kasih Kerajaan Negeri Pahang kerana membantu anak-anak Negeri Pahang,” tambahnya. -PAHANGMEDIA

