Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 21 JANUARI 2025 : Tiga pelajar SK Permatang Keledang, Pekan berjaya memenangi pingat emas dalam Junior Creative Category (Technic) di International Robot Olympiad ke-26 di Busan, Korea baru-baru ini.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Petronas, pertandingan yang berlangsung pada 18 dan 19 Januari lepas menugaskan para pelajar untuk mencipta dan mempersembahkan solusi robototik.
“Pertandingan bertaraf antarabangsa ini memberikan peluang kepada peserta-peserta untuk bekerjasama dan menyelesaikan masalah dunia sebenar melalui robotik, bagi membentuk generasi pemimpin masa depan yang peka akan perkembangan industri dan teknologi.
“Pasukan-pasukan dari Pahang, Kelantan, dan Johor bersaing dalam Junior Creative Category, di mana peserta-peserta ditugaskan untuk mencipta dan mempersembahkan solusi robototik.

“International Robot Olympiad, yang diperkenalkan pada tahun 1999, berfungsi sebagai salah satu pertandingan robotik yang paling menonjol di dunia. Pertandingan ini menggalakkan para peserta untuk bertukar idea, mengasah kemahiran menyelesaikan masalah, dan berinovasi untuk masa depan,” ujar kenyataan tersebut.
Para peserta ini telah bermula dengan program Petrosains Tech4All, sebuah inisiatif yang direka khas untuk memperkenalkan pelajar-pelajar kaum asli ataupun peribumi kepada pembelajaran robotik dan STEM melalui aktiviti pembangunan kemahiran secara praktikal sebelum menyertai Petrosains RBTX Challenge 2024, di bawah sub-kategori yang baru diperkenalkan tahun lepas, iaitu Inovasi: Budaya Orang Asli & Teknologi.
Kejayaan para pelajar pertandingan yang mencabar pelajar tersebut mengaplikasikan pengetahuan STEM dalam mencipta penyelesaian lestari telah membolehkan pasukan tersebut menerima jemputan daripada International Robot Olympiad Committee untuk bertanding dalam International Robot Olympiad ke-26.
Menurut salah seorang peserta, Matthew Jambai, 12, minatnya dalam bidang robotik tercetus apabila dia mula menerokai asas-asas memasang komponen modular dan kemudian minatnya semakin mendalam apabila mahir menguasai kawalan robot melalui bengkel dan program anjuran Petrosains tersebut.

“Melalui bengkel Petrosains Tech4All dan program Petrosains RBTX Challenge 2024, saya telah belajar membina dan mengawal robot, dan pengalaman ini sangat menyeronokkan.
“Saya sangat bangga mendapat peluang untuk menyertai International Robot Olympiad, dan saya bercita-cita untuk menjadi seorang guru pada masa depan untuk memberi inspirasi kepada orang lain dalam bidang robotik,” katanya.
Manakala menurut guru SK Permatang Keledang, Encik Mohd Zulkhairi, pihaknya melahirkan penghargaan kepada Petrosains Tech4All kepada pelajar Orang Asli kerana pihak sekolah dapat menyaksikan peningkatan yang luar biasa dari segi keyakinan dan kemahiran pelajar dalam pembelajaran robotik dan pihaknya percaya perjalanan ini akan memberikan inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk meminati dalam pendidikan STEM.
Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains Sdn. Bhd., Encik Ezarisma Azni Mohamad, Petrosains sebagai badan impak sosial Petronas berbesar hati kerana diberi amanah untuk mendemokrasikan pendidikan STEM dalam kalangan komuniti.
“Melalui program-program seperti Petrosains RBTX Challenge dan Petrosains Tech4All, kami ingin memupuk minat yang lebih mendalam terhadap pendidikan STEM, menggalakkan komuniti kita untuk menerokai dan memanfaatkan peluang-peluang transformasi yang ditawarkan oleh STEM,” katanya. -PAHANGMEDIA

