Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
PUTRAJAYA, 11 JANUARI 2025 : Kadi memainkan peranan penting dalam menjadi medium menyebarluas inisiatif yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pahang kepada masyarakat di negeri ini.
Menurut Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, ia dapat dilaksanakan melalui penggunaan media sosial secara aktif bagi menyalurkan sebarang maklumat.
“Saya berkongsi pandangan dan sedikit pengalaman saya dengan kadi dari seluruh Negeri Pahang dan juga pegawai daripada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) tentang penggunaan media sosial.

“Dan saya lihat kelompok ini, khususnya para kadi ini memainkan peranan yang besar dalam membimbing masyarakat atau rakyat di Pahang ini tentang usaha-usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri dan juga Jabatan Agama Islam Pahang bagi meningkatkan dan membangunkan syiar Islam di negeri ini.
“Peranan mereka cukup besar dan harapan Kerajaan Negeri terhadap mereka juga cukup tinggi dan kadi ini adalah pemimpin yang cukup dihormati di kalangan masyarakat itu sendiri, sesuai dengan penghormatan tersebut, mereka boleh memainkan peranan untuk menyebarkan segala inisiatif baik yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Peningkatan Professionalisme Kumpulan Pengurusan & Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di Hotel Everly Putrajaya yang turut dihadiri, Pengarah JAIP, YH. Dato’ Zaliza Zulkipli.

Menurut beliau, rakyat perlu didedahkan dengan inisiatif yang telah diberikan dan peruntukkan yang diagihkan bagi memastikan pembangunan syiar Islam di negeri ini.
“Bila kita tengok pecahan daripada peruntukan hampir RM197 juta yang akan dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri untuk meningkatkan syiar Islam di negeri ini pada tahun ini, pecahannya itu perlu diketahui oleh rakyat.
“Dan banyak juga inisiatif-inisiatif terbaharu yang dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Pahang yang masih belum diketahui oleh rakyat sendiri.
“Jadi media sosial ini adalah platform penting untuk kita memberi kefahaman dan maklumat kepada rakyat kerana tidak semua kelompok masyarakat ini kita boleh temui secara bersemuka melalui program yang kita laksanakan namun kita boleh temui mereka dalam platform media sosial,” katanya. -PAHANGMEDIA

