Oleh : Ain Nadhirah Basha
JERANTUT, 09 JANUARI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang menyediakan bantuan kaunseling kepada waris yang kehilangan anggota keluarga dalam kemalangan dan bencana yang berlaku.
Menurut Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Hajah Sabariah Saidan, bantuan ini sebagai sokongan moral kepada keluarga yang terlibat.
“Bagi khidmat kaunseling mereka akan memberi khidmat nasihat dan sokongan moral kepada kedua-dua keluarga kerana kita tak merasai beban mereka yang kehilangan anak-anak ini, bak kata orang berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
“Dan pemberian kaunseling ini juga kita akan lihat kepda kes yang mana kita akan berikan secepat mungkin kepada keluarga terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa lemas Azri Fahmi Bahiudin Zaiful Afindi, 14, dan kanak-kanak penghidap gangguan saraf otak, Mohamad Nur Iman Ramadhani, 12, hari ini.
Beliau berkata bantuan kaunseling dan sokongan moral dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pahang melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Pahang, dan Unit Pembangunan Wanita dan Sosial (UPWS) Negeri Pahang.
Mengulas mengenai kad kesihatan Pahang Pride Kasih, beliau berkata terdapat peningkatan jumlah penerima direkodkan bagi tahun ini.
“Jumlah penerima ada penambahan dan insyaAllah kita akan meluaskan lagi penggunaan kad tersebut melibatkan perkhidmatan pergigian dan juga farmasi,” katanya. -PAHANGMEDIA

