Oleh : Norhafizan Zulkifli & Safiah Hanani Norhalizan
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 09 JANUARI 2025 : Kompleks Belia dan Sukan Negeri Pahang (KOMBES Pahang) dijangka akan dibuka kepada orang awam pada September tahun ini.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, kerja-kerja naik taraf dan pembinaan baharu kompleks dikendalikan oleh kontraktor M.Z. Hakujaya Sdn. Bhd. itu kini telah mencapai lebih 72 peratus dan akan siap sepenuhnya pada Jun nanti.

Katanya, projek yang dibina di tengah bandar Kuantan itu menelan kos sebanyak RM24,728,39.80 dengan keluasan 4.5 hektar.
βSaya ucap terima kasih atas keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang untuk menyediakan tapak di tengah bandar Kuantan ini.

βJadi sudah pastilah apabila siap kompleks ini, akan memberi manfaat yang besar kepada rakyat Pahang khususnya orang muda untuk melakukan aktiviti dengan pelbagai kemudahan disediakan di kompleks ini,β katanya ketika melakukan lawatan kerja di KOMBES Pahang, di sini hari ini.
Tambahnya lagi, mewakili Kerajaan Negeri Pahang, beliau berharap dengan pembinaan kompleks berkenaan dapat melahirkan lebih ramai atlet sukan berbakat untuk negeri ini.

βDan pada masa sama menjadi pusat kegiatan serta aktiviti belia untuk Negeri Pahang ini. Ia akan menjadi satu mercu tanda baharu kepada negeri ini apabila siap nanti,β katanya.
Antara kemudahan yang terdapat di KOMBES Pahang adalah bangunan pentadbiran, bangunan asrama, dewan utama, gimnasium, gelanggang sukan pelbagai guna berbumbung, gelanggang futsal berbumbung, βskate parkβ dan βwall climbingβ, trek sintetik, auditorium, kiosk niaga dan gelanggaang petanque.

ββSkate parkβ ini menarik kerana desainnya adalah atas kehendak peminat-peminat sukan papan selaju di negeri ini. Kita dapatkan padangan mereka apabila kita membina βskate parkβ tersebut berikutan banyak permintaan dari mereka. Saya rasa mereka teruja untuk menggunakan βskate parkβ ini,β ujarnya.
Katanya lagi, segala permasalahan yang menyebabkan kelewatan dalam pembinaan kompleks berkenaan sudah lama diselesaikan.
βDari segi kemajuan nampak mengikut landasan cuma terdapat sedikit isu berkaitan sambungan pembentungan melibatkan IWK (Indah Water Konsurtium Sdn Bhd) di mana kita sudah minta untuk diberikan keutamaan kepada penyambungan pembentungan ini,β ujarnya lagi. -PAHANGMEDIA

