Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 8 JANUARI 2025 : Tindakan YAB. Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang sanggup mengambil risiko peribadi untuk membuat pengesahan awal kewujudan titah adendum dan tahanan rumah melalui fail affidavit di mahkamah membantu membolehkan keputusan berpihak kepada mantan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Anak sulung Dato’ Sri Mohd Najib, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, berkata, beliau amat menghargai usaha yang dilakukan YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy itu.
Katanya, tanpa pengesahan awal terbabit, orang ramai tidak akan mengetahui kewujudan titah adendum tersebut.
“Saya ingin membuat nukilan dan posting khas kepada bos saya, YAB. Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismaill.
“Selain usaha YAB. Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO, untuk fail affidavit titah adendum yang saya amat hargai, beliau (YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy) juga mengambil risiko peribadi untuk mengesahkan pada awalnya kewujudan titah adendum dan tahanan rumah melalui affidavit yang beliau fail dengan mahkamah.
“Tanpa pengesahan awal ini, orang ramai tidak tahu akan kewujudan titah tersebut,” katanya dalam satu hantaran yang dibuat di akaun Facebooknya Nizar Najib NN11, hari ini.
YB. Dato’ Mohamad Nizar turut mendedahkan beliau sering mendapatkan nasihat dan pandangan daripada YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy sepanjang saga titah adendum berlangsung.
“Beliau banyak memberi dorongan dan nasihat sepanjang saya dan keluarga perjuangkan pekara ini bagi pihak ayahanda,” katanya lagi.
YB. Dato’ Mohamad Nizar turut memuji keperibadian YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy yang dikatakan sebagai seorang yang kuat bekerja sehingga mencapai sasaran ditetapkan.
“Bos saya ini bukan jenis yang suka ‘claim credit’ tak tentu pasal. Beliau jenis yang kuat bekerja. Tahu-tahu, kerja dah siap. Biar pencapaian dan prestasi itu berbicara. Dalam erti kata, ‘action speaks louder than words’.
“Lihat sahajalah pencapaian hasil negeri yang meningkat berlipat ganda, setinggi 175 peratus antara 2018 hingga 2025,” ujarnya.
Beliau yang juga merupakan Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang turut mengakui banyak mempelajari selok belok kepimpinan daripada YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy.
“Bagaimana beliau selesaikan masalah, damaikan pihak-pihak yang sedang bertelagah, uruskan krisis kecil mahupun besar dan hadapi banyak cabaran dengan tenang.
“Terima kasih tak terhingga Dato’ Sri Diraja Menteri Besar. Saya dengan ikhlas selalu mendoakan agar Dato’ Sri Diraja diberikan kesihatan yang baik dan kekuatan untuk terus memimpin kami di pentadbiran Negeri Pahang,” ujarnya lagi.
YB. Dato’ Mohamad Nizar dalam pada itu merakamkan rasa syukur atas keputusan penghakiman majariti 2-1 oleh Hakim Mahkamah Rayuan yang memihak kepada Dato’ Sri Najib.
Dengan keputusan itu katanya, Dato’ Seri Mohd Najib mendapat kebenaran untuk memulakan prosiding semakan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung penolakan permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah. – PAHANGMEDIA

