Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 06 JANUARI 2025 : Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang melahirkan rasa kesyukuran terhadap kebenaran Mahkamah Rayuan bagi memulakan prosiding semakan kehakiman mengenai kesahihan kewujudan Titah Adendum Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16 kepada Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Naib Presiden UMNO yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, keputusan ini memberi harapan bagi Dato’ Sri Mohd Najib mendapatkan keadilan sewajarnya.
“Alhamdulillah, Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang melahirkan rasa penuh kesyukuran setelah Mahkamah Rayuan membenarkan Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak memulakan proseding semakan kehakiman mengenai kesahihan kewujudan Titah Adendum Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16 untuk beliau menjalani baki hukuman pemenjaraan menerusi tahanan dalam rumah.
“Di kesempatan ini, patik menjunjung setinggi-tinggi kasih ke sisi Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah yang telah memperakukan kewujudan dan kesahihan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024 sewaktu
baginda masih lagi menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
“Keputusan ini telah memberi harapan kepada Dato’ Sri Mohd Najib dan keluarga beliau serta kita semua untuk terus memberi kepercayaan kepada perjuangan beliau bagi mendapatkan keadilan yang sewajarnya,” katanya.
Beliau dalam kenyataan tersebut juga berkata ini membuktikan afidavit yang dikemukakan beliau dan Presiden UMNO sebelum ini juga adalah berasas.
“Di samping itu, surat daripada Majlis Kesultanan Pahang bertarikh 4 Januari 2025 juga membuktikan bahawa afidavit yang dikemukakan oleh saya dan juga Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berasas dan tidak bersifat khabar angin atau ‘hearsay’,” katanya.
Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut menegaskan UMNO sentiasa menjunjung tinggi prinsip kedaulatan undang-undang dan menghormati proses kehakiman negara serta institusi diraja.
“Saya ingin menyeru kepada semua ahli UMNO untuk terus bersatu hati dan jangan biarkan sebarang isu memecahbelahkan perpaduan kita,” katanya. -PAHANGMEDIA

