Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 03 JANUARI 2025 : Inisiatif menaja makan tengah hari kepada calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Negeri Pahang 2024 oleh Kerajaan Negeri Pahang mencerminkan komitmen memastikan kebajikan dan kesejahteraan pelajar di negeri ini.
Menurut satu kenyataan media oleh Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang, Encik Wan Muhammad Hafizzul Wan Ismail, inisiatif ini amat bermanfaat kepada pelajar yang berulang-alik dari rumah sepanjang peperiksaan berlangsung.
“Langkah ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan pelajar, khususnya mereka yang menghadapi peperiksaan besar seperti SPM, sentiasa diberi perhatian. Usaha ini bukan sahaja meringankan beban ibu bapa tetapi juga membantu pelajar kekal bertenaga dan fokus sepanjang tempoh peperiksaan.
“GPMS Pahang amat menghargai komitmen Kerajaan Negeri dalam memperjuangkan kebajikan pelajar. Langkah ini menunjukkan keprihatinan tinggi YAB Menteri Besar terhadap masa depan pendidikan generasi muda, khususnya dalam mempersiapkan mereka untuk cabaran masa depan.
“Inisiatif ini amat bermanfaat kepada pelajar yang berulang-alik dari rumah sepanjang peperiksaan, memastikan mereka mendapat nutrisi yang mencukupi untuk kekal bertenaga menghadapi sesi peperiksaan pagi dan petang,” katanya.
Beliau turut mencadangkan pemberian inisiatif ini diperluaskan kepada calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di masa hadapan.
“Langkah ini akan memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar yang menduduki peperiksaan penting, selain memperkukuhkan lagi sokongan kerajaan terhadap pembangunan pendidikan negeri.
“GPMS Pahang yakin bahawa inisiatif ini akan memberikan impak positif kepada prestasi pelajar dan mencerminkan keprihatinan serta komitmen YAB Menteri Besar dalam memperkasakan pendidikan generasi muda di negeri ini,” katanya.
Inisiatif pemberian makanan Juadah Makmur kepada pelajar SPM ini melibatkan pelajar sekolah menengah harian termasuk Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN), telah dilaksanakan bermula semalam. -PAHANGMEDIA

