Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 2 JANUARI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang mengambil inisiatif untuk menaja makan tengah hari kepada semua calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di negeri ini.
Tajaan makan tengahari yang bermula hari ini itu adalah untuk calon yang tidak menetap di dalam asrama.
Perkara terbabit diumumkan YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di dalam akaun Facebook rasminya hari ini.
“Usaha ini adalah tanda sokongan kita kepada anak-anak Pahang yang sedang berjuang demi masa depan mereka.
“Saya turut dimaklumkan bahawa YB Menteri Pendidikan amat menghargai inisiatif ini dan turut menyampaikan ucapan terima kasih serta salam kepada kita semua di negeri Pahang,” katanya.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy dalam pada itu mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon SPM 2024 yang menduduki ujian bertulis bermula 2 Januari hingga 6 Februari ini.
“Semoga anak-anak semua diberi ketenangan, kekuatan, dan kebijaksanaan sepanjang menghadapi peperiksaan ini.
“Marilah kita semua berdoa semoga semua calon SPM dapat menduduki peperiksaan dengan tenang serta diberi kesihatan yang baik. Usaha dan doa adalah kunci kejayaan anak-anak semua,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

