Oleh : Ain Nadhirah Basha
BENTONG, 28 DISEMBER 2024 : Program Felda Talk memberi penjelasan secara terus kepada warga peneroka Felda mengenai beberapa perkara terutamanya melibatkan perwarisan, kesihatan, dan Skim Tanah Rakyat Felda (STRF).
Menurut Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, program ini juga dapat memudahkan peneroka mengajukan sebarang kemusykilan kepada pihak Felda secara terus.
“Kita menjemput penceramah daripada HQ (ibu pejabat Felda) untuk menerangkan bagaimana kepentingan perwarisan, dan bagaimana agihan STRF dilakukan.
“Tidak lupa kita juga memberi tumpuan kepada kesedaran kesihatan di mana kesihatan warga Felda, dan penduduk sekitar kawasan Felda adalah satu perkara yang tidak harus dipandang ringan.

“Felda bersama Kerajaan Negeri dan kepimpinan setempat memberikan penerangan yang jelas dan kita juga mendapat maklumbalas daripada segala permasalahan penduduk setempat terutama di kawasan Felda ini,” katanya.
Beliau berkata program Felda Talk ini merupakan kesinambungan daripada program sebelum ini iaitu Chilex, dan Bicara Felda dan ia dilaksanakan bagi membawa satu anjakan baharu di antara Felda dan Kerajaan Negeri.
“Kita nak membawa anjakan baharu di mana Kerajaan Negeri nak membantu Felda untuk menyelesaikan keperluan masyarakat terutama di kawasan Felda sendiri melibatkan peneroka dan generasi peneroka dan insyaAllah kita akan teruskan lagi di kawasan lain selepas ini.
“Dan kita ada kumpulan sasaran di mana hari ini ada 500 peserta sahaja tetapi kita buat secara langsung di media sosial bagi anak generasi Felda dapat ikut serta mendengar semua penerangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Felda Talk di Dewan Semai Bakti Felda Kemasul. -PAHANGMEDIA

