KUANTAN, 24 DISEMBER 2024: Pejabat Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dinamakan sebagai Majlis Kesultanan Pahang berkuatkuasa 1 Januari tahun hadapan.
Penukaran nama berkenaan mendapat limpah perkenan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Istana Pahang menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya berkata, institusi itu berperanan memikul tanggungjawab dalam semua urusan membabitkan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang.
“Satu lagi sejarah terlakar bagi institusi terbabit yang berperanan memikul tanggungjawab dalam semua urusan membabitkan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan keseluruhan Institusi Istana Pahang sama ada urusan rasmi atau tidak rasmi,” katanya.
Selain itu katanya, ia juga berfungsi bertepatan dengan kedudukan Paduka Baginda sebagai Sultan dan Raja Pemerintah Negeri Pahang dan jajahan takluknya yang memerintah mengikut undang-undang tubuh kerajaan Pahang. -PAHANGMEDIA

