Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 29 NOVEMBER 2024 : Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memperluaskan Program Sekolah Model Khas Komprehensif Khas 9 (K9) ke empat sekolah di Pahang bagi menangani isu kehadiran dan keciciran murid Orang Asli yang tinggal jauh di pedalaman dan kawasan terpencil.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, peluasan Sekolah K9 mampu mengurangkan kadar keciciran transisi murid dari Tahun 6 ke Tingkatan 1 kerana pelajar kekal di sekolah sama bagi mengikuti pendidikan di peringkat menengah rendah.
“Sehingga kini, sebanyak 4 buah sekolah K9 yang telah dibuka di Negeri Pahang iaitu SK Satak (Raub), SK Penderas (Temerloh), SK Kedaik (Rompin) dan SK Bandar 2, Paloh Hinai (Pekan).
“Setelah melihat kejayaan pelaksanaan sekolah K9, KPM telah meluaskan konsep sekolah model khas komprehensif 9 kepada sekolah model khas komprehensif 11 atau K11 iaitu pendidikan bermula dari tahun 1 sehingga tingkatan 5 di sekolah yang sama.
Sebagai permulaan, KPM sedang melaksanakan rintis K11 di dua buah sekolah termasuk di SK RPS Betau, Kuala Lipis, Pahang bermula pada sesi persekolahan 2023/2024,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, YB. Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Menjawab soalan tambahan daripada YB Tuan Khaizulnizam berhubung peluasan pelaksanaan K9 dan K11 di Sekolah Kebangsaan (SK) Iskandar di Triang, Bera, beliau berkata, Kerajaan Pahang akan menilai keperluan tersebut untuk ditangani sebaiknya.
“InsyaaAllah, perkara ini akan dilihat, ditangani kerana tujuannya untuk mengelakkan keciciran,” katanya.
Jelasnya, KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang sentiasa memberikan perhatian yang serius kepada isu kehadiran dan keciciran pendidikan termasuk dalam kalangan anak-anak masyarakat Orang Asli.
Berdasarkan statistik kehadiran murid Orang Asli pula, kesemua 29 buah Sekolah Murid Orang Asli (SMOA) menunjukkan peratus kehadiran melebihi 70% sehingga Bulan September 2024.
KPM melalui JPN Pahang telah melaksanakan beberapa program bagi meningkatkan peratus kehadiran murid Orang Asli ke sekolah antaranya Program Melonjakkan Kehadiran Murid (Prolokid) dan Chup Badui Sikulah (CBS) khusus untuk memberi akses pendidikan asas kepada kanak-kanak Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman. – PAHANGMEDIA

