Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 14 NOVEMBER 2024 : YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyeru Generasi Z dan Milenial agar menerajui era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan Masyarakat 5.0 kerana mereka mampu membawa perubahan besar dalam gaya hidup, cara kerja dan pendidikan apabila terdedah dengan teknologi sejak awal usia.
Beliau yang juga Pro-Canselor UCYP University berkata, golongan tersebut membesar dalam era teknologi dan media sosial dengan penggunaan teknologi canggih sejak kecil, termasuklah kecerdasan buatan (AI), realiti maya (VR) dan Internet of Things (IoT) yang memberi kelebihan kepada mereka untuk menerajui bidang teknologi.

Konsep (Masyarakat 5.0) bertujuan mencipta kumpulan masyarakat yang menggunakan teknologi AI dan IoT tidak hanya dalam industri tetapi juga untuk kesejahteraan sosial dengan menekankan pendekatan manusia-sentris, di mana teknologi digunakan untuk menyelesaikan masalah sosial seperti pendidikan di kawasan pedalaman, kesihatan mental, pengurusan sampah dan kitar semula, keselamatan awam, pengangkutan awam dan banyak lagi.
Kedua-dua konsep ini turut memperkasakan masyarakat dengan memperkenalkan platform digital yang memudahkan komunikasi antara kerajaan, sektor swasta, dan rakyat, sekali gus meningkatkan keterlibatan dalam proses pembuatan keputusan.

“Justeru, saya ingin menyeru agar pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki dalam teknologi dan digital dapat digunakan sepenuhnya bagi membantu kesejahteraan masyarakat.
“Oleh yang demikian, sebagai insan yang lahir dalam era yang serba canggih ini, saya mengharapkan para graduan semua dapat menggunakan teknologi yang tersedia ini ke arah kebaikan serta membantu membentuk negara bangsa yang lebih dinamik dan berada saing,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Konvokesyen 2024 UCYP University dan Kolej Yayasan Pahang yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, hari ini.
Hadir sama ialah YB Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin dan Naib Canselor UCYP University, Professor Dato’ Dr. Muhammad Fauzi Mohd Zain.
Pada majlis itu, seramai 645 graduan dari pelbagai bidang menerima ijazah dan diploma masing-masing dengan bertemakan ‘Membina Generasi Cemerlang : Pendidikan Awal, Kreativiti dan Digital’.
Pada majlis sama turut diraikan seramai 131 pelajar antarabangsa dari China, Nigeria, Indonesia, Bangladesh dan Filipina. – PAHANGMEDIA

