Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 07 NOVEMBER 2024 : Projek MyOKUCentre oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Pahang telah merangkul tempat pertama bagi Anugerah Team Excellence sempena Majlis Anugerah Kualiti & Inovasi PERKESO 2024.
Projek yang mula dilaksanakan pada 2 Ogos lepas telah berjaya meningkatkan 85 peratus pendaftaran OKU di Portal MyFutureJobs dan membantu golongan OKU di Negeri Pahang memperoleh pekerjaan yang sesuai.
MyOKUCentre merupakan hub informasi setempat yang inklusif telah dilaksana dengan kerjasama pihak komuniti di 20 Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di serata Negeri ini dan memberi impak yang sangat baik bagi membantu golongan OKU di Negeri Pahang.

Pahang juga merupakan negeri pertama yang melaksana inisiatif ini yang mana ia telah dilancarkan oleh Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang merangkap Pengerusi Majlis Penasihat Orang Kurang Upaya (MPO) Negeri Pahang, YB. Dato’ Hajah Sabariah Saidan pada 15 Oktober lepas.
PERKESO Negeri Pahang yang diwakili Team Fratellanza telah mengemukakan Projek MyOKUCentre melalui peranan yang dimainkan selaku Pengerusi Jawatankuasa Kecil Ekonomi dan Pekerjaan dibawah Majlis Penasihat Orang Kurang Upaya (MPO) Negeri Pahang.
Pasukan ini membawa pulang wang tunai RM3,000, trofi, dan sijil penghargaan pada majlis dengan tema Inspirasi Pencetus Inovasi yang berlangsung di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur hari ini. -PAHANGMEDIA

