Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 31 OKTOBER 2024 : Sebanyak 126,912 notis saman telah dikeluarkan menerusi operasi yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang bagi tempoh 1 Januari sehingga 28 Oktober lepas.
Menurut Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, sebanyak 325,326 kenderaan perdagangan dan persendirian telah diperiksa dalam tempoh tersebut secara keseluruhan.
“Bagi notis saman JPJ P22, notis saman paling banyak dikeluarkan kepada kenderaan perdagangan melibatkan kesalahan teknikal iaitu sebanyak 14,106 notis, manakala bagi kenderaan persendirian adalah kesalahan melibatkan lesen memandu sebanyak 29,899 notis.
“Sebanyak 23 peratus jumlah kenderaan yang telah diambil tindakan bagi tempoh yang sama direkodkan iaitu sebanyak 74,699 buah kenderaan melibatkan 50,026 kenderaan persendirian dan 24,673 kenderaan perdagangan.

“Jumlah kes berkaitan muatan mencatatkan jumlah sebanyak 9,416 kes, dan jumlah keseluruhan kenderaaan disita direkodkan sebanyak 1,091 buah kenderaan seluruh negeri Pahang dengan motorsikal merupakaan jumlah tertinggi sebanyak 760 buah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya Sempena Cuti Deepavali Tahun 2024 di Plaza Tol Gambang bersama Pengarah JPJ Pahang, YBrs. Tuan Haji Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman.
Menurut beliau, dalam tempoh sama, sebanyak 449 kes melibatkan saringan urin pemandu kenderaan barangan, persendirian dan lain-lain kenderaan direkodkan.
“Daripada saringan ini 12 pemandu lori didapati positif dengan penyalahgunaan bahan terlarang, diikuti sembilan penunggan motorsikal, pemandu kereta (8), dan pemandu lain-lain kenderaan (1),” katanya.
Beliau turut menyeru semua pengguna jalan raya dan orang awam untuk mematuhi undang-undang jalan raya bagi memastikan keselamatan diri, keluarga dan pengguna jalan raya yang lain.
Beliau turut menyarankan pengguna untuk melaporkan secara terus dengan menggunakan Aplikasi MyJPJ, e-aduan@jpj atau emel aduantrafik@jpj.gov.my berserta dengan butiran lengkap aduan sekiranya terdapat aduan kesalahan berkaitan. -PAHANGMEDIA

