Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 25 OKTOBER 2024 : Seramai 5,115 graduan bakal menerima ijazah masing-masing bersempena Majlis Konvokesyen Kali ke-19 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdulah (UMPSA) yang akan berlangsung sebanyak enam sesi mulai esok sehingga Ahad ini bertempat di Dewan Kompleks Sukan Universiti UMPSA, di sini.
Daripada jumah penerima ijazah berkenaan, 2,538 darinya adalah penerima ijazah sarjana muda, 180 penerima ijazah sarjana, 83 penerima ijazah doktor falsafah (PhD), 64 penerima ijazah dual dan 533 darinya adalah penerima sijil diploma.
Daripada jumlah itu juga, 1,717 merupakan graduan program pembelajaran sepanjang hayat UMP Advanced yang akan menerima ijazah dan diploma masing-masing.
Naib Canselor UMPSA, Prof. Dato Ts Dr Yuserrie Zainudin berkata, Tuanku Pro Canselor UMPSA, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan berangkat menyempurnakan istiadat pemasyhuran konvokesyen UMPSA esok.
Tambahnya lagi, Baginda Tuanku Pro-Canselor turut akan bercemar menganugerahkan Gelaran Profesor Emeritus kepada Dato’ Sri Ts Dr Daing Nasir Ibrahim.
“Anugerah itu merupakan penganugerahan tertinggi akademik atas pelbagai sumbangan yang telah dicurahkan kepada universiti dan pendidikan tinggi negara,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan di UMPSA di sini hari ini.

Prof. Dato Ts Dr Yuserri juga memaklumkan, Baginda Tuanku Pro-Canselor turut berkenan menyempurnakan penganugerahan ijazah dan anugerah keemerlangan kepada seramai 327 penerima ijazah sarjana, kedoktoran dan ijazah termasuk 64 penerima ijazah dual juga 21 penerima anugerah kecemerlangan bersempena Majlis Konvokesyen yang akan berlangsung pada sesi satu, esok.
“Selain itu, buat pertama kalinya tiga graduan perintis program Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan Bioteknologi Industri dengan Kepujian iaitu seorang dari UMPSA dan dua orang dari Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU), Kazakhstan akan menerima dua ijazah serentak bagi program kerjasama ijazah dual,” ujarnya.
Katanya lagi, sesi kedua majlis pula akan disempurnakan oleh Pro Canselor UMPSA, Tan Sri Dato’ Sri Dr Abi Musa Asaari Mohamed Nor yang akan menyampaikan penganugerahan ijazah Sarjana Muda dan Diploma kepada seramai 754 graduan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) termasuk 27 penerima anugerah dan hadiah.
Prof. Dato Ts Dr Yuserrie juga memaklumkan sesi ketiga diteruskan pada hari kedua di mana Tan Sri Dato Sri Dr Abi Musa sekali lagi akan menyampaikan penganugerahan Ijazah Sarjana Muda dan Diploma kepada seramai 966 graduan Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Fakulti Komputeran (FK) dan Pusat Sains Matematik (PSM) termasuk 28 penerima anugerah dan hadiah kecemerlangan.
Prof Dato’ Ts Dr Yuserrie pula akan menyampaikan penganugerahan Ijazah Sarjana Muda daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Fakulti Pengurusan Industri (FPI) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) melibatkan seramai 921 graduan termasuk 41 penerima anugerah dan hadiah kecemerlangan pada sesi keempat.
Difahamkan juga, pada hari ketiga, Prof Dato’ Ts Dr Yuserrie sekali lagi akan menyampaikan ijazah kepada graduan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) dan seramai 1,059 graduan UMPSA Advanced dan 18 penerima anugerah kecemerlangan pada sesi kelima serta tambahan sesi keenam iaitu seramai 1,088 graduan. -PAHANGMEDIA

