Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 24 OKTOBER 2024 : Laporan cuaca kesan Ribut Tropika Kuat (TRAMI) melibatkan daerah Kuantan di media sosial baru-baru ini, tidak seteruk seperti yang ditularkan.
Menurut satu kenyataan media oleh Pejabat Meteorologi Pahang, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), namun jangkaan akan berlaku ribut petir di beberapa tempat adalah benar.
“Berdasarkan model WRF ribut petir beberapa tempat dijangkakan akan berlaku di Kuantan, Pahang pada 25 Oktober 2024 tetapi tidak seteruk seperti yang ditularkan di media sosial.
“Kesimpulannya, kejadian ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat yang ditularkan akan berlaku pada 25 Oktober 2024 adalah fenomena yang kebiasaannya berlaku
semasa monsun peralihan ini,” katanya.
Kenyataan tersebut turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mengurangkan aktiviti luar terutama ketika hujan dan ribut petir berlaku atau dijangka berlaku memandangkan ia berpotensi menyebabkan bencana berlaku.
“Nasihat Ribut Tropika Kuat (TRAMI) telah dikeluarkan oleh MET Malaysia pada 8.55 pagi 24 Oktober 2024. Ribut Tropika ini dijangkakan akan menyebabkan hujan berterusan di negeri Sabah serta angin kencang dan laut bergelora di kawasan Laut China Selatan dan Laut Sulu.
“Selain daripada itu, amaran angin kencang dan laut bergelora (kategori pertama) juga telah dikeluarkan pada 4.15 petang 20 Oktober 2024 bagi Sabah Barat dan Labuan, Sabah Timur, Timur Condore, Reef North, Layang-Layang, Labuan, Palawan dan Sulu.
“Secara klimatologinya semasa monsun peralihan rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah. Situasi ini boleh menggalakkan kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat, terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak. Keadaan cuaca sebegini berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” katanya.
Hari ini MET Malaysia telah mengeluarkan ramalan cuaca signifikan melibatkan Ribut Tropika Kuat Trami yang sedang aktif di Laut China Selatan dan dijangka bergerak ke Barat menghala ke Vietnam.
Keadaan tersebut akan menyebabkan peningkatan kelajuan angin di rantau negara sehingga 28 Oktober 2024 dan ianya berpotensi membawa hujan berterusan di barat Sabah serta pembentukan garis badai di utara dan pantai timur Semenanjung dalam tempoh tersebut.
Sehubungan itu, MET Malaysia telah mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) bagi negeri Sabah dan WP Labuan berkuat kuasa sehingga 25 Oktober 2024.
Manakala amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora bagi Laut China Selatan dan Laut Sulu berkuat kuasa sehingga 27 Oktober 2024.
Pihak MET Malaysia menasihatkan orang awam untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih. -PAHANGMEDIA

