KUANTAN, 24 OKTOBER 2024 : Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) telah mengeluarkan notis kepada pihak yang menaikkan papan tanda kutipan derma menerusi Tabung Prihatin DUN Beserah yang dipamerkan di Beserah, Kuantan.
Datuk Bandar Kuantan, YH. Dato’ Razihan Adzharuddin berkata, pihaknya telah menyemak dan mendapati papan tanda berkenaan tidak mempunyai permit oleh MBK.
“Iya, tiada permit (papan tanda), MBK telah keluarkan notis dalam tempoh 24 jam, jika notis gagal dipatuhi, kita akan turunkan (papan tanda),” katanya ketika dihubungi bagi mendapatkan penjelasan berhubung status papan tanda berkenaan.
Baru-baru ini tular di media sosial berhubung papan tanda kutipan dana bagi Tabung Prihatin DUN Beserah yang dipamerkan di Beserah, Kuantan yang mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial.
Perkara itu menarik perhatian ramai sekaligus menjadi bualan dalam kalangan pengguna media sosial.
Rata-rata netizen menyatakan wakil rakyat seharusnya membantu penduduk, tetapi apa yang berlaku ini menunjukkan sebaliknya apabila pengundi yang perlu membantu mereka. -PAHANGMEDIA

