Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 22 OKTOBER 2024 : Kerajaan Pahang akan membawa dua usul daripada Persidangan Dewan Belia Negeri Pahang yang telah dibahaskan selama dua hari bermula semalam sehingga hari ini di Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, dua usul yang diterima ialah Skim Tanah Belia Makmur dan Tabung Belia Pahang.

Manakala dua usul yang ditolak adalah Platform Perlindungan Belia dan Duta Belia Kesihatan Mental.
Jelasnya, kesepakatan Dewan Belia Negeri Pahang memberikan keharmonian dalam perbahasan selama bersidang.
“Kerajaan Negeri Pahang memandang serius setiap pandangan, idea yang diketengahkan sepanjang persidangan kali ini dan dua usul yang diterima ini akan saya maklumkan kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail agar satu penelitian dapat dibuat oleh Kerajaan Negeri mengambil kira pandangan dan keputusan yang telah dimuktamadkan dalam menghujahkan usul ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Belia Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Persidangan Dewan Belia telah dikendalikan oleh Speaker Dewan Belia Negeri Pahang, YB. Tuan Lee Chin Chen bersama Timbalan Speaker Dewan Belia Negeri Pahang, YB. Tuan Khaizulnizam Mohd Zuldin.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan akan memperkemaskan lagi tatacara persidangan supaya Ahli Dewan Belia dapat mengutarakan usul dan pandangan dengan lebih baik.
Pada persidangan kali ketiga ini, seramai 42 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia dan lima ADUN Belia Lantikan telah berbahas membincangkan pelbagai isu berkaitan belia untuk diangkat ke peringkat tertinggi kerajaan. -PAHANGMEDIA

