Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Nuraqilah Amran
KUANTAN, 22 OKTOBER 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah satu dasar baharu berkaitan pemantauan bangunan lama perlu diwujudkan di negeri ini.
Paduka Baginda bertitah ia bertujuan agar semua bangunan lama dipantau sebaik mungkin bagi mengelakkan kejadian kebakaran yang berlaku di Kuantan membabitkan kedai karpet baru-baru ini daripada berulang.
“Saya nak mengingatkan pihak pentadbiran supaya tengok semula semua bangunan-bangunan yang sudah lama dan usang ini.

“Perlu membuat satu dasar yang baru berkaitan dengan bangunan lama ini kerana saya bimbang kejadian macam ini akan berlaku lagi di tempat-tempat yang lain.
“Dan nasihat saya pihak kerajaan kena pergi teliti semua bangunan-bangunan yang sudah lama ini. Perlu beri nasihat yang profesional yang tak boleh kita abaikan ataupun kita bertindak sambil lewa,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah turut menegaskan supaya tindakan tegas diambil oleh pihak berwajib terhadap perkara ini bagi mengelakkan sebarang risiko berkaitan nyawa kepada orang ramai.

“Kejadian ini harus jadi eye opener kepada pentadbiran. Saya tahu kalau kita nak bina bangunan baru, pejabat baru, hotel baru, premis baru, begitu ketat sekali peraturan-peraturan yang disediakan oleh pihak bandaraya, pejabat daerah. Kita setuju dengan cara itu tetapi bangunan-bangunan lama awak tutup mata sahaja.
“Ini saya rasa satu masa untuk pergi, tengok, bangunan-bangunan. Bomba pun sama, kalau rasa bangunan tu rasa tak selamat, beritahu tak selamat, jangan main diam sahaja. Ini kerana kita tidak mahu ada kehilangan nyawa, kehilangan harta yang besar dan ini tidak mencerminkan segi ketegasan dalam soal keselamatan di sini.
“Be firm about it. Kalau bangunan tak selamat, tulis situ tak selamat. Itu ada risiko tinggi kepada orang yang datang, orang yang tinggal di situ, orang yang bekerja dekat situ. Jadikan ini satu ingatan dan eye opener kepada semua pihak,” titah baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian selepas mendengar persembahan taklimat daripada Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Pahang, YS. Dato’ Dr. Ts. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa pada lawatan di tapak kebakaran kedai karpet K.A. Mohamed Shariff & Co. di Jalan Besar.
Turut mengiringi keberangkatan tiba Paduka Baginda, YAM Tengku Panglima Perang Leftenan Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. -PAHANGMEDIA

