KUANTAN, 10 OKTOBER 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menitahkan agar Kerajaan Pusat melalui Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Ekonomi mempertimbangkan semula pembinaan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di lebuh raya Lingkaran Tengah Utama (LTU).
Keputusan untuk tidak melaksanakan salah satu komponen penting dalam projek lebuh raya itu dilihat akan menyukarkan usaha penyelesaian beberapa isu berkaitan antaranya keperluan asas orang ramai yang menggunakan lebuhraya berkaitan.
Paduka Baginda menegaskan bahawa keperluan R&R di lebuh raya tersebut akan dapat memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna sekaligus mengelak masalah pembuangan sampah serta kekotoran di pinggir jalan akibat ketiadaan kemudahan tandas.
Paduka Baginda berharap agar pihak berkaitan dapat memberi pertimbangan sewajarnya untuk meneruskan pembinaan infrastruktur tersebut bagi kepentingan orang ramai terutamanya ketika musim perayaan dan cuti sekolah.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri Pahang telah membuat permohonan agar R&R dapat dibina di LTU (dalam daerah Bentong) bagi memberi kemudahan kepada pengguna namun ianya tidak diteruskan dengan alasan kos pembinaan R&R mencecah dua kali ganda daripada anggaran kos asal walaupun ia berada dalam skop projek dan hanya penyediaan platform dan infra sahaja yang dilaksanakan. – PAHANGMEDIA

