Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 11 SEPTEMBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang menafikan dakwaan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) telah membakar serta memusnahkan struktur yang menempatkan pekerja dan peralatan pekebun haram di Raub.
Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob hari ini, dakwaan ini adalah satu cubaan untuk memainkan persepsi negatif terhadap Kerajaan Negeri.
“Terdapat satu hantaran yang dikeluarkan dalam laman Facebook Save Musang King Alliance (SAMKA) bertarikh 10 September 2024 yang mendakwa bahawa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) telah membakar serta memusnahkan struktur yang menempatkan pekerja dan peralatan pekebun haram di dalam kawasan yang terlibat dengan pencerobohan haram di daerah Raub.
“Kerajaan Negeri ingin menafikan dakwaan ini yang telah memberikan gambaran seolah-olah Kerajaan Negeri menyalahgunakan kuasa dan membuat ugutan melalui cara yang tidak berperikemanusiaan.
“Ini merupakan satu dakwaan yang tidak berasas dan cubaan untuk memainkan persepsi negatif terhadap Kerajaan Negeri serta Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang sentiasa menjunjung tinggi prinsip kedaulatan undang-undang dan tidak sesekali akan mengambil tindakan di luar prinsip tersebut.
“Dalam hal ini, Kerajaan Negeri sentiasa mematuhi penghakiman Mahkamah Tinggi Malaya di Kuantan dan perintah Mahkamah Rayuan Malaysia di Putrajaya yang berkuat kuasa.
“Kerajaan Negeri akan kekal menegakkan undang-undang dan bertekad melaksanakan penguatkuasaan bagi memastikan sebarang aktiviti pencerobohan tanah secara haram di atas tanah Kerajaan ditangani sebaik mungkin,” katanya.
Beliau dalam kenyataan media tersebut juga menyatakan Kerajaan Negeri Pahang akan menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap tuduhan SAMKA berkenaan.
“Saya akan memastikan siasatan menyeluruh tuduhan SAMKA ini dan Kerajaan Negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap cubaan untuk memburukkan imej Kerajaan Negeri.
“Saya berharap orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan cubaan memfitnah tidak bertanggung jawab sebegini,” katanya. -PAHANGMEDIA

