Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhamad Amiruddin Ani (Unit Korporat)
BENTONG, 11 OGOS 2024 : Kerajaan Negeri Pahang menggesa semua pihak mengambil berat cara penggunaan media sosial bagi memastikan keharmonian negara terus berkekalan.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata ia merupakan antara perkara yang dititik beratkan oleh Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
“Saya mewakili YAB. Menteri Besar dan beliau menitipkan beberapa perkara antaranya penggunaan media sosial yang dititik beratkan oleh Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
“Penggunaan ini (media sosial) hendaklah dikawal dan tidak boleh menjejaskan keharmonian dan juga perpaduan di antara kaum di negeri dan negara ini.
“Kita harus ambil perhatian mengenai penggunaan media sosial yang tidak terkawal, tanpa sempadan sehingga menyebarkan kebencian, persepsi serta sentimen yang boleh memecahbelahkan perpaduan yang telah kita bina selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Dan Kibar Jalur Gemilang 2024 Peringkat Negeri Pahang di Dataran Bentong.
Turut hadir, YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Saiful Edris Zainuddin; Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim; dan Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Cik Leong Yu Man.
Beliau turut menyeru pengguna media sosial untuk menyemak semula kesahihan sebarang berita yang diterima sebelum membuat sebarang hantaran bagi mengelakkan kes buli siber berlaku.
“Kita tidak mahu kes buli siber terjadi seperti sebelum ini dan ini merupakan antara mesej yang telah dititipkan oleh Menteri Besar. Dan bahawasanya kemerdekaan perlulah kita ertikan dalam diri anak muda.
“Kemerdekaan bukan sahaja bebas dari segalanya dan selamanya tetapi juga kita bebas dari pengaruh negatif yang berlaku pada hari ini,” katanya.
Seramai lebih 3,000 pengunjung membanjiri Dataran Bentong bagi menyertai majlis pelancaran berkenaan bagi menyemarakkan Bulan Kebangsaan dengan pelbagai aktiviti yang telah dirancang yang akan berakhir di Maran pada 16 September ini. -PAHANGMEDIA

