Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 28 JULAI 2024 : Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Festival Belia Pahang Sempena Hari Belia Negara Peringkat Negeri Pahang hari ini.
Tengku Mahkota Pahang yang tiba pada 3.15 petang turut berkenan bercemar duli menyampaikan anugerah pada Majlis Pengurniaan Anugerah Perdana Belia Negara dan Anugerah Khas Belia Kerajaan Negeri Pahang 2024.

Turut mengiringi keberangkatan tiba Tengku Mahkota Pahang, YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Hadir sama, YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin; dan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal.
Tengku Mahkota Pahang kemudiannya berkenan bercemar duli melawat reruai pameran serta menyantuni pengunjung yang ada sebelum berangkat pulang pada 5.45 petang.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang dalam sembah ucapan berkata Kerajaan Negeri Pahang telah memperuntukkan lebih RM3 juta bagi pelaksanaan pelbagai program pembangunan belia di negeri ini.
“Kerajaan Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku telah memperuntukkan lebih RM3 juta bagi pelaksanaan pelbagai program pembangunan belia, yang disalur melalui Jabatan Belia dan Sukan Pahang, Majlis Belia Negeri Pahang, serta NGO-NGO belia di negeri ini.
“Pelaksanaan program-program ini termasuklah melibatkan kepimpinan belia, latihan, kesukarelaan, keusahawanan, teknokrat, sukan, dan pelbagai lagi.
“Belanja yang cukup besar ini diperuntukkan bukan sahaja bagi memenuhi keperluan dan minat pelbagai kelompok dan segmen belia, tetapi juga untuk menyediakan generasi pewaris yang berdaya saing, berdisiplin dan berketahanan yang boleh disandar harap untuk memimpin negeri ini pada masa hadapan,” katanya. -PAHANGMEDIA

