Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 29 JULAI 2024 : Kurniaan Anugerah Khas DiRaja sempena Hari Belia Negara Peringkat Negeri Pahang disifatkan sebagai hadiah kelahiran paling bermakna bagi Mejar Dr. Hafiz Zulariffin yang jatuh pada 16 Julai lalu.
Mejar Dr. Hafiz Zulariffin Zulkarnain, 33, yang merupakan Pegawai Perubatan Kanan dan kini bertugas di Malaysian Battalion (Malbatt) 850-11 Lubnan turut melahirkan rasa terkejut dan tidak menjangkakan sama sekali akan menerima anugerah ini.
“Saya sendiri tak jangka dapat (anugerah) ini sebenarnya sebab saya tengah bertugas di luar negara dan dapat panggilan beritahu Tuanku titah untuk terima Anugerah DiRaja sempena Hari Belia dan Sukan ini. Saya pun baru sampai dari Lubnan pagi semalam.
“Dan ia juga sempena hadiah hari lahir saya yang paling bermakna yang pernah saya dapat,” kongsi bapa kepada dua anak yang berasal dari Mentakab, Temerloh.
Menurut beliau, beliau merupakan satu-satunya pegawai perubatan yang masih berkhidmat yang turut mempunyai kursus asas komando di Malaysia.
“Sebelum ini ada dua lagi pegawai perubatan yang ada asas komando tetapi telah pun bersara, dan untuk perkhidmatan sekarang hanya saya seorang yang ada kursus asas komando ini.
“Selain itu saya juga pernah menjadi pegawai koordinasi untuk perubatan bersama Eksesais Keris Aman II 2023 yang melibatkan 26 buah negara luar,” katanya.
Beliau membawa pulang trofi, sijil penganugerahan, serta wang bernilai RM15,000 bagi anugerah ini.
Sementara itu, bagi penerima Anugerah Khas Belia kategori Orang Kurang Upaya (OKU), Siti Hawa Apandi, 35, yang menghidap penyakit Spinal Muscular Atrophy (SMA) Type 2 sejak berusia 2 tahun melahirkan hasrat untuk memperluaskan kesedaran terhadap golongan OKU di negara ini.

“Kita ada buat program Webinar untuk bagi kesedaran tentang OKU di negara ini. Apa cabaran yang dialami OKU dan macam mana cabaran ini dapat diatasi, untuk beri peluang lebih banyak OKU join komuniti, bersosial, tak lah hanya duduk di rumah sahaja.
“Kita akan luaskan kesedaran mengenai OKU, mengenai fasiliti supaya dapat di tambahbaik, dan supaya orang dapat lebih info dan lebih cakna dengan OKU,” kongsi anak ketiga daripada lima beradik yang masih menuntut di peringkat PHD dalam bidang Pengajian Komputer di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Selain dua penerima anugerah khas ini, terdapat sembilan lagi penerima daripada tiga kategori turut menerima Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Pahang termasuk Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tioman, YB. Kapt (B) Dato’ Sri Mohd Johari Hussain (Anugerah Khas Tokoh Belia); dan ADUN Chini, YB. Mohd Sharim Md Zain (Anugerah Khas Jasa Belia). -PAHANGMEDIA

