Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 27 JULAI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang sentiasa berusaha untuk membangunkan modal insan berkemahiran tinggi bagi memenuhi permintaan pelabur serta meningkatkan produktiviti negara.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata pembangunan ini dapat dilaksanakan melalui kerjasama bersama Kerajaan Pusat serta agensi terlibat.
“Di Malaysia, permintaan untuk tenaga kerja profesional mahir semakin meningkat, terutamanya mereka yang belajar teras Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Pahang adalah sebuah negeri yang penting dari segi ekonomi dengan aktiviti utama dalam sektor perkhidmatan, pembuatan, dan pertanian. Oleh itu, pendidikan STEM dan TVET memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan melengkapkan individu dengan kemahiran praktikal untuk tenaga kerja masa depan.
“ Saya yakin bahawa penawaran pekerjaan dalam bidang STEM dan TVET mampu merancakkan lagi aktiviti ekonomi di Negeri Pahang, sekali gus meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk Pahang secara keseluruhan. Ini bukan sahaja untuk pembangunan sosio-ekonomi negara, tetapi demi membantu anak-anak Pahang untuk terus maju dan berjayasuapaya mereka dapat mempertingkatkan taraf hidup Rakyat Pahang dan Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Yes! Rock The School Edisi Mega Pahang di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Turut hadir, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), YBhg. Dato’ Haji Abdul Muie Ngah; Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah
Talent Corporation Malaysia Berhad, YBrs. Encik Mohd Khuzzan Abu Bakar; Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), YBrs. Encik Ahmad Zamri Md Isa; dan Pengarah, Pusat Kerjaya UMPSA, YBrs. Profesor Madya Doktor Izwan Ismail.
Beliau berkata dalam era di mana landskap pekerjaan terus berkembang pesat, para pelajar harus merebut apa jua peluang yang ada bagi menghadapi cabaran global.
“Selain itu, pendidikan STEM dan TVET juga dapat meningkatkan kualiti pemikiran masyarakat kita dari segi pengetahuan, kemahiran, dan minda yang diperlukan untuk kemajuan teknologi serta industri. Ini penting untuk menghadapi cabaran global seperti Revolusi Industri 4.0 dan perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI).
“Saya pasti teknologi AI ini telah memberikan pengaruh yang sangat kuat dalam kehidupan generasi muda. Oleh itu, saya ingin mengingatkan semua yang hadir hari ini agar menggunakan teknologi AI dengan bijak dan tidak menyalahgunakannya sehingga menimbulkan kesan negatif terhadap kesihatan serta akhlak anda,” katanya.
Seramai 600 pelajar daripada 32 buah sekolah dari Kuantan, Temeloh, Maran, dan Pekan telah menyertai program selama dua hari anjuran Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp).-PAHANGMEDIA

